MELANCONG merupakan aktiviti yang sangat menyeronokkan terutamanya bagi pasangan yang baharu sahaja berkahwin.
Namun bagaimana jika hendak melancong bersama anak… tambahan pula yang masih kecil?
Melancong bersama anak kecil anda sebenarnya tidak terlalu teruk dan bosan seperti yang dibayangkan.
Sebenarnya anda masih boleh berseronok dan menikmati percutian anda sekiranya anak anda tidak meragam.
Demi memastikan anak anda tidak meragam sepanjang tempoh percutian anda, pastikan anda mengamalkan tip-tip yang berikut.
1. Rancang destinasi dan tempat penginapan anda
Sebelum anda memutuskan untuk pergi melancong, anda perlu merancang destinasi dan tempat penginapan anda terlebih dahulu.
Pilih tempat yang dipersetujui oleh anda, pasangan serta anak anda untuk menggembirakan semua pihak. Sekiranya anda memilih untuk melancong ke luar negara, pastikan anda tidak lupa untuk menyediakan pasport untuk anak kecil anda juga. Ini untuk mengelakkan anda daripada membuat kerja saat akhir yang hanya akan mendatangkan emosi tidak baik pada anda sekeluarga.
Selain itu, pastikan bakal tempat penginapan anda sesuai untuk individu berkeluarga atau tidak. Cari tempat penginapan yang mesra kanak-kanak dan menyediakan pelbagai kemudahan dan permainan untuk mereka. Destinasi dan tempat penginapan yang menarik akan membuatkan anak anda berasa seronok sekaligus membuat anda tidak perlu bimbang tentang keadaan mereka.
2. Rancang pengangkutan dan jarak perjalanan anda
Bagi memastikan anak anda berasa selesa sepanjang perjalanan, pastikan anda merancang pengangkutan dan jarak perjalanan anda dengan baik. Jika anda memilih untuk memandu kereta, pastikan anda menggunakan tempat duduk khas untuk kanak-kanak bagi anak kecil anda. Ini untuk mengelakkan mereka berasa tidak selesa atau mual sepanjang perjalanan.
Jika anda memilih untuk menggunakan kapal terbang pula, pastikan anda memakaikan pakaian yang sesuai untuk anak anda. Pakaikan mereka pakaian yang sedikit tebal bagi mengelakkan mereka berasa sejuk sepanjang penerbangan.
Selain itu, sediakan snek untuk anak anda mengunyah sepanjang penerbangan. Ini bertujuan melegakan sedikit rasa tidak selesa pada telinga anak anda akibat tekanan udara ketika sedang dalam penerbangan.
Pastikan anda sentiasa berada dekat dengan mereka sepanjang perjalanan anda menuju ke destinasi pilihan anda. Keberadaan anda di samping mereka membuatkan mereka berasa lebih tenang dan selamat. Ini sekaligus akan mengelakkan mereka meragam sepanjang perjalanan.
3. Sediakan makanan dan pakaian yang secukupnya
Bagi memastikan anak anda tidak kelaparan sepanjang tempoh anda melancong, pastikan anda menyediakan makanan yang secukupnya untuk anak anda.
Beri mereka peluang untuk makan makanan ringan seperti snek, coklat atau gula-gula bagi memastikan mereka berasa gembira dan tidak terlalu terkongkong dalam pemilihan makanan mereka. Ini akan membuatkan mereka berasa lebih bebas dan seronok.
Selain itu juga, pastikan anda menyediakan pakaian ekstra ketika melancong. Ini kerana kanak-kanak tidak tahu mengawal penggunaan pakaian mereka. Oleh itu mereka akan memakai dan mengotorkan pakaian mereka sesuka hati.
Bagi mengelak daripada anda perlu membeli pakaian baharu untuk anak, anda boleh membawa pakaian ekstra daripada rumah. Selain dapat memastikan anak anda kekal bersih dan ceria, strategi ini juga mampu menjimatkan wang ringgit anda.
4. Bawa first aid kit ke mana-mana anda pergi
Malang itu tidak berbau. Oleh itu anda perlu menyediakan peti kecemasan dan bawanya ke mana sahaja anda sekeluarga pergi. Ini untuk mengelakkan panik sekiranya berlaku sebarang kemalangan yang tidak diingini kepada anak anda.
5. Pastikan tahap kesihatan anak anda
Di samping keselamatan anak anda, kesihatan anak juga merupakan perkara paling penting untuk dilihat sebelum anda sekeluarga memutuskan untuk melancong. Pastikan anda, pasangan dan anak anda berada pada tahap kesihatan yang baik sebelum pergi melancong.
Pastikan juga destinasi pilihan anda untuk melancong itu bebas daripada sebarang virus atau wabak penyakit berbahaya yang boleh mengancam tahap kesihatan anda sekeluarga.
Rancang setiap perincian percutian anda agar anak anda tidak meragam dan berasa seronok sepanjang anda tempoh melancong. Dengan ini, anda sendiri akan berasa gembira dan tidak tertekan sepanjang percutian.
Sumber: https://hellodoktor.com