Tinggalkan kerjaya eksekutif demi kuih

LANTARAN minat dan keinginan yang begitu tinggi dalam seni pembuatan kuih dan pastri, Zuraini Mamat, 48, telah melakukan pengorbanan terbesar. Beliau sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta terkemuka demi menumpukan sepenuh perhatian kepada kecenderungannya itu.

Wanita yang mesra disapa dengan nama Kak Zu berkata, beliau nekad mengambil skim pemberhentian sukarela dalam bidang yang diceburinya selama lapan tahun. Ibu kepada empat cahaya mata itu tidak pernah rasa menyesal apatah lagi menoleh ke belakang walaupun perniagaan kuih, bakeri dan pastri tidak menjanjikan pendapatan yang tetap sepertimana kerja makan gaji.

Kak Zu memberitahu Dapur Femina, ketika membuat keputusan tersebut, suami, Abd Jamil Kandar, 54, tidak terkejut apatah lagi melarang.

“Saya tak rasa ralat ketika itu bahkan yakin dapat pergi jauh dalam bidang pembuatan kuih dan kek yang diminati sejak di bangku sekolah menengah lagi.

“Malah ketika bekerja pun, saya turut membuat kek seperti kek coklat dan lobak. Kemudian saya menjualnya kepada rakan-rakan sekerja,” kongsinya kepada kami ketika ditemui di kediamannya di Kajang, baru-baru ini.

Pemegang Diploma Perbankan dari Universiti Teknologi Mara itu juga mengakui, tidak pernah segan atau merasa malu dengan hanya membuat kuih meskipun ada membisikkan bahawa ia tidak selari dengan latar belakang pendidikannya.

Kak Zu bersama boko ubi yang mendapat sambutan tinggi daripada pelanggan

Kak Zu bersama boko ubi yang mendapat sambutan tinggi daripada pelanggan

Seri muka durian

Seri muka durian

Dunia kuih

Bercerita tentang dunia baharunya, Kak Zu memang nampak teruja. Katanya, boleh dikatakan beliau mewarisi kebolehan neneknya yang mahir membuat kuih-kuih tradisional.

“Saya turut mengikuti kelas di sebuah kedai kek di Chow Kit, Kuala Lumpur,” ujar anak kelahiran Alor Gajah, Melaka ini.

Kak Zu memaklumkan dia tidak menyangka sama sekali apabila mendapat tawaran untuk memenuhi tempahan membuat kuih-muih tradisional di sebuah kafe di Hospital Putrajaya.

“Ia berlaku selang beberapa hari saya berhenti kerja pada tahun 2002. Alhamdulillah, hampir setiap hari (selepas itu), saya sibuk memenuhi tempahan.

“Sehinggalah tahun 2005, saya terpaksa berhenti mengambil tempahan kerana bersalin anak keempat dan mahu beri tumpuan kepadanya yang masih kecil,” ujarnya.

Rezekinya tidak terhenti di situ apabila tidak lama kemudiannya, dia menerima permintaan pihak katering untuk membekalkan kuih-muih untuk majlis perkahwinan.

Sekali lagi, kepopularan laman sosial seperti Facebook dan Instagram pada tahun 2010 telah memberi paradigma baharu terhadap bisnes kuihnya.

Kak Zu berkata, hampir setiap hari beliau akan memuat naik gambar kuih- muih ke dalam laman sosial. Penangannya memang bukan calang-calang. Permintaan mendadak tinggi.

“Bagaimanapun, saya tidak membuat penghantaran sebaliknya pelanggan akan ambil sendiri tempahan itu di rumah saya di Kajang,” katanya.

Kole ubi

Kole ubi

Kuih seri muka

Kuih seri muka

Kuih lapis pelangi

Kuih lapis pelangi

Kuih laku keras

Ujar Kak Zu, daripada bermacam jenis, kuih boko ubi menduduki carta kuih yang paling laris. Melihat situasi itu, wanita ini mempelbagaikan lagi air tangannya dengan menghasilkan kuih talam, lapis, seri muka, kaswi goyang, kole ubi, kole kacang, seri muka durian, bingka ubi,seri muka pandan, talam keladi, kaswi goyang, lapis pelangi dan lapis merah putih.

“Ya, memang saya terkejut kerana sambutannya amat menggalakkan. Pelanggan dari seluruh negeri datang membeli dengan saya.

“Kemudian, saya meriahkan lagi jualan saya dengan membuat kek, tart dan biskut,” katanya yang menjual 12 hingga 15 jenis kuih sejak tiga bulan lalu.

Ketika penulis bertandang ke rumahnya, Kak Zu berkata, kuih seri muka perisa duriannya juga semakin diminati ramai. Beliau melabelkan kuih ini sebagai eksklusif kerana rasanya yang asli ibarat menikmati pulut durian.

“Saya tak akan pakai pes (durian) sebab nanti rasa kuih tak sama, saya guna durian asli,” akuinya yang berniaga di bawah jenama Kuih Talam & Tartlets.

Kepada Dapur Femina, Kak Zu berkata, ilmu di dada lebih berkat jika dikongsi bersama orang lain. Oleh yang demikian, beliau mengadakan kelas belajar membuat kuih tradisional.

“Pelanggan teringin nak makan kuih saya tetapi jarak yang jauh membataskan mereka untuk sampai ke sini. Jadi, mereka minta saya buat kelas. Selain belajar cara buat, mereka juga dapat jana pendapatan dengan jual kuih sendiri,” katanya mengakhiri wawancara.

Antara peserta yang mengikuti kelas kuihnya

Antara peserta yang mengikuti kelas kuihnya



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *