Timur Tengah destinasi eksport minyak sawit

Timur Tengah destinasi eksport minyak sawit

KUALA LUMPUR – Dengan jumlah penduduk melebihi 330 juta dan penggunaan sebanyak 2.34 juta tan minyak sawit tahun lepas, meningkat lapan peratus daripada tahun 2020, rantau Timur Tengah akan terus menjadi destinasi eksport penting bagi Malaysia, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Ketua Pegawai Eksekutif, Wan Aishah Wan Hamid berkata, rantau berkenaan telah menunjukkan pertumbuhan yang konsisten dalam penggunaan lemak khusus dan disebabkan kualiti pemakanan dan fungsi berkhasiatnnya, minyak sawit akan mendapat manfaat daripada trend ini.

“Rantau ini juga dijangka menyaksikan lonjakan dalam permintaan, dipacu oleh acara global seperti Ekspo 2020 Dubai, FIFA 2022, pelancongan keagamaan dan banyak lagi,” katanya kepada Bernama.

Tahun lepas, eksport minyak sawit Malaysia ke Timur Tengah, mencatatkan peningkatan sebanyak 8.2 peratus.

Pengimport utama dari rantau ini ialah Turki dengan jumlah 703,588 tan, diikuti oleh Iran dengan import 404,319 tan.

Kedua-dua pasaran ini mencatatkan peningkatan, masing-masing sebanyak 19 peratus dan 25 peratus.

Negara lain yang mencatatkan peningkatan ialah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yemen, Jordan, Syria, Qatar dan Kuwait.

“Pasaran minyak sawit UAE dijangka mencecah AS$467.1 juta menjelang 2025, menurut laporan terkini oleh Grand View Research, Inc,” kata Wan Aishah.

Beliau berkata, sebagai contoh produk konfeksionari di Turki, sektor itu telah meningkat kira-kira 50 peratus untuk tempoh 10 tahun mulai 2010 dan akan meneruskan corak pertumbuhan dan penggunaan minyak sawitnya.

Turki juga berada pada kedudukan yang strategik untuk meneroka peluang eksport semula ke wilayah atau rantau Balkan dan Asia Tengah, jelasnya.

Sementara itu di Mesir, olein minyak sawit menyaksikankan aliran yang meningkat untuk memenuhi permintaan yang semakin ketara dalam sektor hotel, restoran dan kafe (HORECA) terutamanya selepas sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat COVID-19 dua tahun lepas menunjukkan penambahbaikan.

Peningkatan adunan olein sawit dalam minyak masak juga merupakan satu lagi sektor pertumbuhan di Mesir.

“Walaupun perniagaan terus menikmati tahap permintaan yang kukuh, mereka turut melaporkan peningkatan yang lebih ketara dalam harga input. Kenaikan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan kos bahan api dan tenaga, serta harga bahan mentah yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata keyakinan perniagaan mengenai aktiviti masa depan mungkin lebih mencabar terutamanya kepada UAE akibat gelombang Omicron pandemik.

Namun begitu, beliau menambah ini bergantung pada bagaimana varian Omicron memberi kesan kepada perjalanan/pengembaraan di seluruh dunia dan sekatan tempatan.

Perniagaan turut berdepan prospek inflasi yang lebih tinggi, selepas data terkini menunjukkan kenaikan terpantas dalam kos pembelian selama sembilan bulan disebabkan kenaikan harga tenaga dan bahan mentah, katanya.

Usaha promosi berterusan pada 2022

Wan Aishah berkata, tahun ini, MPOC akan mengukuhkan usaha promosinya bagi pengiktirafan global Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai standard kemampanan Malaysia.

“Program pemasaran dan promosi 360-darjah, untuk memastikan keterlihatan dan pemahaman MSPO, akan dilaksanakan mulai daripada penglibatan bersama pegawai utama kerajaan, seminar dan perbincangan dengan persatuan perdagangan dan sektor HORECA, serta jerayawara dan pengiklanan media sosial untuk pengguna umum.

“Ini akan menjadi usaha jangka panjang yang akan bermula dengan negara-negara jiran kita dan kesannya akhir sekali akan dilihat pada produk yang dengan bangganya membawa logo MSPO kita, satu petunjuk bahawa standard kemampanan telah mencapai kedudukan antarabangsa,” katanya.

Beliau menambah, MPOC telah mula mempromosikan MSPO di laman web peraduan dalam talian MPOC World Expo Dubai.

Selain itu, ‘’Malaysian Palm Oil Full of Goodness’’ akan menjadi tema utama semasa Minggu Pertanian Komoditi Lestari dari 6-12 Feb untuk menyokong pengeluar produk berasaskan minyak sawit Malaysia yang akan memasarkan produk mereka di LuLu Hypermarket di UAE.

Sebagai penyumbang keempat terbesar kepada ekonomi Malaysia, industri minyak sawit akan dapat mengekalkan prestasi 2021 pada 2022, disokong oleh pelbagai usaha pemasaran dan promosi yang akan dijalankan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta agensinya.

Pada 2021, jumlah eksport minyak sawit Malaysia dan derivatifnya berjumlah 24.26 juta tan dan disebabkan harga minyak sawit yang tinggi, jumlah hasil meningkat sebanyak 40 peratus kepada RM 102.34 bilion berbanding 2020. Bernama

Sumber