‘Tidak sempurna iman seseorang jika tak percaya perkara ghaib’

‘Tidak sempurna iman seseorang jika tak percaya perkara ghaib’

BERIMAN dengan perkara ghaib antara ayat yang banyak disebut di dalam al-Quran, malah ia juga terkandung dalam Rukun Iman.

Pendakwah, Ustaz Hanafiah Abd Malek berkata, ia penting kerana banyak perkara ghaib telah dibuktikan oleh sains yang menunjukkan kekuasaan dan keesaan ALLAH SWT.

Malah, ujar beliau, peristiwa Israk dan Mikraj pada 27 Rejab merupakan antara contoh yang benar-benar menguji keimanan kita.

Dari satu segi, jelas beliau, perkara ghaib itu tidak boleh dilihat ketika ini tetapi kita boleh menyaksikannya kelak.

“Antara contoh perkara ghaib itu adalah ALLAH SWT, syurga dan neraka serta iman yang semuanya tidak boleh dilihat.

“Begitu juga dalam Rukun Iman iaitu percaya kepada ALLAH, malaikat, qada dan qadar serta hari kiamat (semuanya perkara ghaib), kecuali percaya kepada kitab (al-Quran) yang nyata. Begitu juga Rasul, ia perkara nyata,” jelas beliau.

Begitupun, Ustaz Hanafiah berkata, ada juga perkara ghaib yang hanya boleh dilihat orang-orang beriman sahaja iaitu melihat ALLAH SWT pada hari akhirat nanti.

Seperkara lagi, Hanafiah berkata, perkara ghaib turut merangkumi cerita tentang jin dan syaitan iaitu golongan yang derhaka kepada ALLAH SWT.

“Kita kena percaya tetapi ramai orang lebih percayakan hantu, jin dan perkara syirik walaupun tidak nampak dan sukar dibuktikan dari sudut sains kerana ia kerap diceritakan.

“Begitulah apabila kita katakan beriman pada ALLAH dan rasul. Walaupun perkara itu ghaib tetapi kalau selalu diceritakan, Insya-ALLAH orang akan percaya,” jelas beliau.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir berkata, tidak sah dan tidak sempurna iman seseorang yang tidak mempercayai kepada perkara ghaib.

DR MOHAMMAD NIDZAM

DR MOHAMMAD NIDZAM

Firman ALLAH SWT: “Kitab al-Quran ini, tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Iaitu orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Surah al-Baqarah: 2&3)

Jelas beliau, beriman kepada perkara ghaib seperti hari akhirat, syurga dan neraka sebenarnya bahagian penting dalam iman.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *