Tidak rancang terbit CBDC borong, runcit

Tidak rancang terbit CBDC borong, runcit

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mempunyai rancangan untuk menerbitkan Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC) dalam masa terdekat sama ada dalam bentuk borong atau runcit.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pada masa ini, sistem pembayaran domestik Malaysia masih cekap untuk menyokong keperluan ekonomi dan membenarkan pembayaran digital masa nyata.

“Selain itu, komponen dasar monetari dan kewangan semasa kita juga kekal berkesan dalam melindungi kestabilan monetari dan kewangan kita,” katanya dalam sidang akhbar maya sempena penerbitan beberapa siri laporan BNM hari ini.

Memandangkan perkembangan pesat dalam ruang pembayaran dan mata wang digital, Nor Shamsiah berkata, bank pusat itu kini giat meningkatkan kapasiti dalamannya untuk menyokong keputusan mengenai CBDC.

“Keputusan dasar mengenai CBDC akan dipandu oleh manfaat jelas yang diukur secara menyeluruh sambil risiko berkaitan yang timbul daripada penerbitan mata wang digital diurus dengan berkesan.

“BNM akan memantau secara aktif arah aliran petunjuk utama yang mungkin menimbulkan keperluan bagi membolehkan bank pusat mempertimbangkan secara serius perkara berkaitan CBDC,” katanya.

Beliau menambah, petunjuk utama itu termasuk sama ada terdapat penggunaan tunai yang sangat rendah sehingga boleh membawa kepada pengecualian kewangan dan sekiranya aset digital terbitan persendirian digunakan untuk pembayaran di Malaysia boleh menjejaskan keberkesanan dasar monetari negara.

Faktor lain yang akan diambil kira oleh bank pusat ialah sejauh mana CBDC digunakan untuk memudahkan perdagangan rentas sempadan,” katanya.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata, pengumuman mengenai pemenang lesen bank digital akan dibuat dalam masa terdekat selepas proses undang-undang selesai. – Bernama

Sumber