Tiada lagi sentuhan ajaib Karl Lagerfeld

Tiada lagi sentuhan ajaib Karl Lagerfeld

NAMA Karl Lagerfeld terlalu extravaganza dalam dunia fesyen. Tiada siapa pereka yang mampu menenggelamkannya meskipun era demi era berlalu.

Kepada mereka yang meminati jenama mewah yang sinonim dengan Lagerfeld seperti Chanel, Fendi dan Chloe, hasil rekaan baharunya sentiasa dinanti-nantikan. Kerana dipimpin Lagerfeld, Chanel dan Fendi dikenali sebagai jenama mewah yang tiada tandingan!

Seperti kata seorang model, Chanel Iman, fesyen yang dicetusnya tidak pernah terfikir oleh orang lain.

Namun, apabila figura diumumkan meninggal dunia pada 18 Februari lalu, semua terpinga-pinga. Seperti tidak percaya. Kanser pankreas menamatkan riwayat ikonik fesyen ini. Anak kelahiran Jerman itu telah menuju ke alam abadi di Paris. Di sinilah destinasi yang mengubah nasib lelaki yang pernah diejek dek kerana mempunyai hidung yang besar pada zaman kanak-kanaknya.

Sebenarnya, rata-rata pengkritik fesyen sudah dapat mengagak ada sesuatu yang tidak kena pada Lagerfeld. Sesuatu yang jarang dilakukannya apabila beliau tidak menghadiri minggu fesyen di Haute Couture Chanel, Paris dan beberapa pertunjukan fesyen berskala besar. Akhirnya, perkhabaran duka singgah pada telinga mereka.

Inspirasi

Oh! Lelaki menyusuri satu persatu profil Lagerfeld. Sisi kehidupannya cukup melankolik bermula dengan cerita di sebalik namanya. Pemilik nama sebenar Karl Otto Lagerfeldt dilahirkan pada 10 September 1933. Sedar nama Lagerfeld lebih komersial, mendiang telah mengeluarkan huruf ‘t’ pada akhir namanya.

Beliau mempunyai seorang kakak, Martha Christiane selain adik perempuan tiri bernama Thea.

Dari mana bakat seni itu diperoleh? Jawapannya lebih terarah kepada pengaruh ibunya, Elisabeth Bahlmann yang merupakan penjual pakaian wanita. Ayahnya, Otto Lagerfeld pula hanya menjalankan perniagaan produk susu sejat.

Menariknya, legenda ini adalah kanak-kanak pintar. Boleh bercakap dalam lima bahasa dengan lancar! Satu penulisan menceritakan bagaimana keluarga mendiang telah mendisiplinkan dirinya dengan bangun tidur sebelum fajar terbit dan kemudian beliau diwajibkan membaca jurnal seni, biografi dan sejarah.

Famili Lagerfeld kaya-raya. Mereka membesar pada zaman pemerintahan Adolf Hitler. Sebaik berpindah ke kawasan pedalaman utara Jerman, Lagerfeld dikatakan mula jatuh cinta pada seni rekaan dan fesyen.

Minat itu ditonjolkan apabila beliau mula memotong gambar majalah fesyen. Bukan setakat itu, mulutnya pantas mengkritik fesyen yang dipakai oleh kawan-kawannya. Setelah keluarganya kembali ke Hamburg, kecenderungannya semakin bercambah.

Lagerfeld pernah bercerita dengan The Sunday Telegraph. Lelaki ini memberitahu wartawan, pembantu rumahnya malas untuk menukar pakaiannya.Dari situlah, lelaki ini merasakan perlunya ada baju yang selesa untuk dipakai setiap hari.

Beliau juga berkata yang dirinya tidak berminat dengan apa yang orang lain pakai. “Saya tahu minat terhadap fesyen timbul sebelum saya tahu apa yang dipanggil fesyen. Saya merasakan diri saya dilahirkan bersama tangan yang memiliki pensil untuk mencoret rekaan menarik,” katanya.

Tuah hijrah

Melihat masa depannya dengan fesyen, pada usia 13 tahun, beliau memulakan langkah berani berhijrah ke Paris. Sepanjang dua tahun di sana, Lagerfeld sentiasa mencari peluang memasuki pertandingan fesyen.

Lagerfeld di usia muda

Lagerfeld di usia muda

Ketika berusia 16 tahun, beliau telah menyerahkan beberapa jenis lakaran pada pertandingan yang dianjurkan oleh Sekretariat Antarabangsa de la Laine. Lagerfeld memenangi tempat pertama dalam lakaran mantel.

Mendiang telah menewaskan Yves Saint Laurent (YSL), pereka fesyen Perancis terkemuka pada abad ke-20. Kemudian, YSL menjadi kawan rapat mendiang.

Bermulalah kerjaya Lagerfeld. Beliau menjadi pembantu junior kepada pereka terkenal Perancis, Pierre Balmain ketika berumur 17 tahun. Lelaki hebat ini kemudian diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai Pengarah Seni jenama Jean Patou dan pernah mereka bentuk jenama Chloe, Charles Jourdan, Krizia dan Valentino.

Seterusnya, pada tahun 1967, jenama Fendi telah mengupah Lagerfeld untuk memodenkan fesyen bulu dan barang kulit. Rekaan mendiang terbukti mampu menerobos pasaran dengan ilham inovatif, menggunakan bulu arnab dan tupai. Lagerfeld kekal bersama jenama Fendi sehingga hembusan nafas terakhir.

Anjakan Chanel

Tidak keterlaluan untuk dikatakan, nama Lagerfeld menjadi sebutan seantero dunia apabila beliau berkhidmat sebagai Pengarah Kreatif Chanel pada tahun 1980. Beliau mengambil alih posisi Coco Chanel yang meninggal dunia. Ketika itu, jenama Chanel dianggap hampir ‘mati’. Bayangkan dalam tempoh setahun, Lagerfeld berjaya membawa sinar kemajuan kepada syarikat.

Mendiang membaik pulih garis fesyen Coco yang ditinggalkan iaitu monograf ‘CC’ kepada corak gaya House of Chanel. Beliau memastikan logo ‘CC’ menjadi simbol kekayaan untuk sesiapa yang memakai jenama tersebut. Setiap rekaan yang dihasilkan membuatkan jualan jenama Chanel meningkat sekitar empat kali ganda.

Lagerfeld bersama model Lily Rose pada majlis penutup fesyen couture 2017

Lagerfeld bersama model Lily Rose pada majlis penutup fesyen couture 2017

Setahun berada di Chanel, Lagerfeld telah menubuhkan jenama miliknya, Karl Lagerfeld yang lebih menyalurkan ‘keseksian intelektual’. Inovasi yang dibawanya mencetuskan limpahan idea dan eksperimen baharu yang segar, memecah tradisi dan melangkui zaman. Sumbangan-sumbangan perdana beliau selama ini melayakkan dirinya mendapat anugerah Kehormatan Tertinggi di Paris, La Medaille Grand Vermeil de la Ville (2017).

Stailo

Jika anda seorang pencinta fesyen, Lagerfeld sering dilihat memakai pakaian warna hitam, putih dan berkaca mata hitam. Dakwa pengkritik fesyen, penampilan sebegitu boleh menutup kekurangan diri dan umurnya.

Mendiang pernah berseloroh kepada BBC News dengan berkata: “Rupa saya mirip kartun dan saya menyukainya.” Stail rambut tokoh ini juga menjadi perbualan. Lagerfeld lebih selesa mengikat rambut seperti ekor kuda. Fesyen itu mula menjadi trademarknya sejak tahun 1976 lagi. Beliau tidak suka menggunakan gel.

Benar, ikonik fesyen ini pastinya tiada galang ganti. Pemergiannya akan menjadi ingatan buat selamanya. Selamat tinggal Lagerfeld, berehatlah dengan tenang.

ANEKDOT

NAMA SEBENAR: Karl Otto Lagerfeld

LAHIR:10 September 1933ASAL: Hamburg, Jerman

PENDIDIKAN: St. Annes School

JENAMA REKAAN LAGERFELD: Jean Patou, Karl Lagerfeld, Chloe, Fendi, Chanel, H&M, Hogan, Macy’s dan Falabella.

MODEL/TEMAN RAPAT: Naomi Cambell, Kimora Lee Simmons, Tyra Banks, Chanel Iman, Kendall Jenner, Cara Delevingne dan banyak lagi.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *