The Chosen One 2024 : Astro kembali dengan program nyanyian realiti yang menjadi kegemaran ramai, kini menampilkan duo yang lebih hebat!

the chosen one 2024

Menggegarkan industri nyanyian dan meraih status program realiti nombor satu di Malaysia pada tahun 2023 melalui musim pertamanya, Astro kini kembali dengan ‘The Chosen One 2024’. Musim kedua ini akan mula bersiaran pada 20 September, setiap hari Jumaat, pukul 9 malam di Astro Ceria (saluran 611) dan secara serentak di Astro Ria (saluran 104).

Kejayaan musim pertama The Chosen One telah mencipta fenomena, menjangkau lebih 3.5 juta penonton di televisyen. Juara musim lalu The Chosen One 2024, Amir Sisi, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dari perkampungan orang asli di Gerik, Perak, telah menjadi tular dengan lebih 235 juta tontonan di TikTok. Vokalnya yang mengagumkan telah mendapat pujian termasuk dari Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia. Kini, Amir merupakan bakat eksklusif Rocketfuel dan telah melancarkan single pertamanya berjudul Ayah Ibu.

Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, menyatakan, “Setelah sambutan yang sangat baik pada musim pertama, kami kini mempersembahkan musim kedua yang lebih berprestij dan kompetitif. Kami sedar ramai kanak-kanak berbakat dalam nyanyian dan kami mahu memberikan mereka pentas untuk bersinar. Juara musim pertama The Chosen One 2024, Amir Sisi, membuktikan bahawa latar belakang yang berbeza tidak menghalang seseorang untuk mencapai impian. Kami harap mesej ini dapat diterima oleh seluruh Malaysia melalui program ini. Kami yakin penonton akan terpesona dengan persembahan mereka bersama selebriti popular dan percaya peserta akan cemerlang dengan bimbingan coach mereka.”

Sejalan dengan matlamat Astro, program ini bertujuan memperkenalkan bakat-bakat baharu yang berpotensi mengangkat industri hiburan Malaysia. Musim kedua masih mengekalkan format yang sama, dengan menggandingkan kanak-kanak berbakat dalam nyanyian bersama penyanyi popular yang bertindak sebagai coach mereka.

Seramai 16 peserta berusia antara 11 hingga 17 tahun dari seluruh Malaysia telah dipilih daripada uji bakat untuk bersaing dalam ‘The Chosen One 2024’. Mereka terdiri daripada juara pertandingan nyanyian kebangsaan, bakat yang pernah tular di media sosial, dan wajah-wajah baharu tanpa pengalaman bertanding sebelum ini. Lapan daripada mereka yang berjaya menarik perhatian coach akan digandingkan dengan selebriti sebagai pasangan untuk bersaing merebut gelaran juara.

Musim kedua ini akan menampilkan Dato’ Awie sebagai juri tetap bersama Jaclyn Victor yang terkenal dengan suara emas dan banyak anugerah. Setiap episod akan dihoskan oleh pelawak dan pelakon terkenal, Jihan Muse, bersama personaliti radio ERA, Haziq Hussni.

Program ini juga akan mempersembahkan penyanyi-penyanyi ternama Malaysia sebagai coach dan pasangan peserta, termasuk Tomok, Aepul Roza, Amir Jahari, Sufian Suhaimi, Suki Low, Adira Suhaimi, Wany Hasrita, serta kembar Firdaus Rahmat & Fahimi Rahmat.

‘The Chosen One 2024’ juga boleh distrim melalui On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta aplikasi Astro GO dan sooka untuk pilihan yang lebih fleksibel. Dapatkan Pek Astro sekarang dengan diskaun 30%* dan pemasangan percuma bermula dari RM41.99/sebulan. Nikmati hiburan terbaik untuk seisi keluarga dengan #AstroBaharu – hiburan kini lebih mantap. Layari astro.com.my untuk maklumat lanjut.