TH lantik Ketua Pegawai Modal Insan baharu

TH lantik Ketua Pegawai Modal Insan baharu

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan pelantikan Rina Sarif sebagai Ketua Pegawai Modal Insan baharu berkuat kuasa pada 3 Ogos lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff dalam satu kenyataan berkata, pelantikan itu adalah salah satu usaha pengukuhan TH.

Katanya, ia adalah usaha TH dalam meletakkan barisan kepimpinan profesional ke arah menjadi institusi yang dihormati atas pencapaian dan tabir urus yang baik.

“Sebelum ini Rina merupakan Pengurus Besar Sumber Manusia di Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pernah menjawat berbagai jawatan kepimpinan di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun syarikat multinasional.

“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran transformasi modal insan, pembangunan bakat dan melaksanakan strategi yang teguh serta progresif dalam membangunkan bakat-bakat baru untuk keperluan organisasi pada masa kini dan akan datang.

“Pengalaman dan pencapaian beliau pernah mendapat pengiktirafan di peringkat global dan dianugerahkan ‘Top 101 Most Influential Global HR Leader 2019’ daripada World HRD Congress selain beberapa anugerah di peringkat Asia,” katanya hari ini.

Rina juga ahli Majlis Penasihat Industri Universiti Utara Malaysia dan Panel Penasihat Human Resources Online.



Sumber