Tesco, Lifebuoy agih cecair pencuci tangan di sekolah

Tesco, Lifebuoy agih cecair pencuci tangan di sekolah

TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco) bekerjasama dengan pengeluar sabun anti bakteria, Lifebuoy menyediakan cecair pencuci tangan di 63 sekolah terpilih.

Kerjasama itu bertujuan mendidik murid sekolah tentang manfaat kebersihan tangan dan kebersihan, sekali gus membantu mencegah penyebaran kuman.

Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco, Azliza Azmel berkata, Tesco sentiasa berusaha menyedarkan masyarakat menerusi pelbagai kempen dijalankan.

“Di Tesco, kami percaya secara positif memberi impak kepada komuniti dan kami telah melakukannya melalui program tanggungjawab sosial korporat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Azliza berkata, sebanyak 190 cecair pencuci tangan diberikan secara percuma kepada 63 sekolah terpilih.

“Program ini membabitkan kolaboratif dengan Yayasan Pintar iaitu Program Pengambilan Sekolah Tesco yang membabitkan 63 sekolah di seluruh semenanjung Malaysia yang merangkumi kira-kira 57, 000 pelajar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Pelanggan Unilever Malaysia, Jay Go berkata, Lifebuoy yang merupakan antara jenama keluaran syarikat itu bertujuan meningkatkan kesihatan dan kebersihan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Unilever sebuah syarikat bertujuan mengekalkan warisan unik dan kami masih membentuk cara kami melakukan perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Midah 2, Mohd Faisal Mohd Salih bersyukur kerana sekolah itu terpilih menerima sumbangan terbabit.

“Program seperti ini amat digalakkan bagi memastikan murid di sekolah menjalani kehidupan lebih sihat dan bebas penyakit.

“Saya berharap lebih banyak syarikat turut serta dan membantu menerusi kempen berkaitan kebersihan dan kesihatan,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *