Terengganu buka tirai World#QuranHour 2022

Terengganu buka tirai World#QuranHour 2022

KUALA TERENGGANU – Terengganu membuka tirai program World#QuranHour 2022 yang menjadikan Surah Al-Sajdah sebagai surah pilihan untuk dibaca, diperhalusi dan difahami bersama.

Muhaisham

Muhaisham

Ketua Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan dan Maklumat, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Muhaisham Ibrahim berkata, program yang pada awalnya dijadualkan berlangsung pada Selasa dimulakan lebih awal memandangkan negeri itu mengambil cuti umum pada Selasa sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Walaupun tarikh berlangsungnya program ini ditukar pada saat akhir, sambutan diterima dari agensi kerajaan sama ada kerajaan negeri dan persekutuan amat memberangsangkan.

“Setakat Isnin, lebih 40,000 peserta terdiri dalam kalangan kakitangan agensi kerajaan negeri dan persekutuan turut serta untuk bersama-sama menyemarakkan program ini dengan penuh semangat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian sempena ProgramWorld#QuranHour di Dewan Serbaguna PPAT di sini, pada Isnin.

Menurut Muhaisham, seramai 300 peserta terdiri dalam kalangan guru serta wakil agensi kerajaan menyemarakkan program di PPAT yang merupakan antara empat lokasi dipilih sebagai hotspot utama penganjuran Program World #QuranHour 2022 di Terengganu pada tahun ini.

“Pada Selasa program World #QuranHour akan diteruskan di masjid-masjid di negeri ini serta akan turut dijayakan dengan penyertaan daripada wakil badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Sebahagian daripada 300 peserta yang menyertai program World#QuranHour 2022 di Dewan Serbaguna PPAT antara lokasi hotspot program berkenaan di Terengganu.

Sebahagian daripada 300 peserta yang menyertai program World#QuranHour 2022 di Dewan Serbaguna PPAT antara lokasi hotspot program berkenaan di Terengganu.

Hadir sama pada program itu ialah Timbalan Exco Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan Negeri, Ridzuan Hashim dan Pengarah PPAT, Noriza Ismail.

Sementara itu, Jurulatih Tadabbur Rumah Ngaji Terengganu, Mohd Amir Syakirin Maznan berkata, surah Al-Sajdah memberi pengertian besar terhadap umat Islam.

Katanya, surah berkenaan menceritakan berkenaan orang mukmin yang amat menghargai dan menghayati al-Quran dengan penuh keyakinan.

“Segala kurniaan oleh ALLAH SWT meliputi semua aspek sama ada ekonomi, pemerintahan, kerjaya keluarga akan disucikan daripada perkara yang tidak disukai ALLAH SWT.

“Surah ini memberi pengertian orang yang bersujud bukan sekadar sujud dalam sembahyang namun mereka lakukan sujud dalam segenap aspek kehidupan mereka dengan erti kata lain tunduk dan patuh atas kurniaan ALLAH SWT kepada mereka,” katanya.

Kesemua 300 peserta program World#QuranHour 2022 merakam gambar kenangan selepas program di Dewan Serbaguna PPAT pada Isnin.

Kesemua 300 peserta program World#QuranHour 2022 merakam gambar kenangan selepas program di Dewan Serbaguna PPAT pada Isnin.

Beliau menjelaskan, antara ciri-ciri orang yang sentiasa lakukan sujud ialah mereka tidak akan sesekali berasa sombong di dalam segala hal dan keadaan kerana mereka mengetahui bahawa semua itu adalah pemberian ALLAH SWT.

Sumber