Teraju masih relevan bantu pengukuhan sosioekonomi Bumiputera

Teraju masih relevan bantu pengukuhan sosioekonomi Bumiputera

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang ditubuhkan lebih 10 tahun lalu masih berada di landasan yang betul untuk membantu memperkukuhkan sosioekonomi Bumiputera, lebih-lebih lagi ketika negara kini dalam fasa pemulihan memerangi pandemik Covid-19.

Satu kajian yang dijalankan oleh Unit Penyelidikan, Analitik dan Teknologi Maklumat di bawah Teraju juga mendapati enam bidang keutamaan yang menjadi teras utamanya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai peneraju, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara masih lagi relevan.

Enam bidang keutamaan tersebut adalah memperkukuhkan modal insan, meningkatkan ekuiti korporat, pemilikan kekayaan, pemilikan aset bukan kewangan, serta menggalakkan keusahawanan dan melestarikan sistem penyampaian.

Menurut kajian berkenaan, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan berdasarkan enam bidang keutamaan berkenaan oleh Teraju untuk pembangunan ekonomi Bumiputera melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sistem penyampaian yang diwakili oleh kewujudan Teraju juga menunjukkan impak positif dalam meningkatkan pendapatan penengah Bumiputera. Sepanjang penubuhannya, Teraju telah berjaya mencipta sebanyak RM146.32 billion untuk Bumiputera.

“Selain itu, Teraju turut mencipta RM14.79 bilion pelaburan swasta Bumiputera daripada Dana Mudahcara serta mencatat sebanyak RM10.07 bilion modal pasaran daripada penyenaraian syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia,” katanya.

Keenam-enam bidang keutamaan tersebut juga mempunyai hubungan yang positif dan sangat signifikan dalam membantu meningkatkan pendapatan penengah bulanan Bumiputera sebanyak satu hingga lima peratus.

Menurut kajian itu, keenam-enam bidang keutamaan tersebut, modal insan didapati mencatatkan nilai keanjalan yang tinggi iaitu sebanyak 1.743 merujuk kepada tahap modal insan bertindak balas dengan pendapatan penengah jika dibandingkan dengan lima teras utama yang lain di bawah Teraju.

Bagaimanapun, menurut Teraju, berdasarkan unjuran ramalan pendapatan penengah bulanan Bumiputera bagi lima senario (S) dalam kajian itu, ia tidak mampu untuk mencapai sasaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB 2030) yang ditetapkan iaitu pada RM5,169.12 sekiranya fokus hanya diberikan kepada satu-satu bidang keutamaan (senario) sahaja.

“Hal ini dapat dilihat pada unjuran ramalan lima senario masing-masing iaitu meningkatkan lima peratus dalam modal insan (S1), meningkatkan 30 peratus dalam keusahawanan (S2), meningkatkan sembilan peratus dalam pemilikan kekayaan (S3), kenaikan dua peratus dalam aset bukan kewangan (S4) serta meningkatkan 30 peratus dalam pemilikan ekuiti korporat (S5).

“Bagaimanapun, sekiranya kelima-lima senario ini dilaksanakan secara serentak, pendapatan penengah bulanan Bumiputera yang diunjurkan pada tahun 2030 iaitu RM5,390 akan melepasi sasaran TPB 2030,” katanya.

Teraju merupakan agensi pelaksana TPB 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Pada 6 Dis lepas yang bertujuan untuk memperkasakan pembangunan ekonomi dan sosioekonomi Bumiputera berlandaskan inti pati Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Sehubungan itu, antara usaha Teraju untuk meningkatkan pegangan ekuiti korporat Bumiputera ialah dengan memperkukuhkan platform pembiayaan alternatif kepada usahawan yang menjalankan perusahaan kecil dan sederhana.

“Inisiatif tersebut perlu dilaksanakan ke atas kesemua bidang keutamaan secara bersepadu, tanpa mengabaikan satu pun bidang dalam usaha memaksimumkan pendapatan penengah Bumiputera dan mencapai sasaran tersebut,” menurut kajian itu.

Kajian Teraju yang bertajuk ‘Memacu Agenda Bumiputera: Adakah Teraju masih berada di landasan yang betul dan memberikan impak dalam membantu meningkatkan sosioekonomi Bumiputera di Malaysia?’ itu telah dijalankan menerusi dua kaedah kajian.

Kaedah pertama ialah regrasi analisis menggunakan ‘Ordinary Least Square’ (OLS) yang menggunakan perisian Stata melalui data tahunan daripada 2011 hingga 2020 bagi memperoleh keanjalan bagi setiap bidang keutamaan manakala kaedah kedua pula berdasarkan nilai keanjalan yang diperolehi daripada kaedah pertama digunakan untuk unjuran bagi ramalan untuk pendapatan penengah bulanan Bumiputera bagi tahun 2021 sehingga 2030.

Kajian berkenaan menggunakan sumber sekunder antaranya daripada laporan kaji selidik pendapatan isi rumah dan kemudahan asas 2019, kaji selidik tenaga buruh Jabatan Perangkaan Malaysia, Permodalan Nasional Berhad dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian. – Bernama

Sumber