Tempahan Toyota Veloz mula dibuka

Inspirasi Destinasi Menarik Percutian Impian > AKTIVITI > Tempahan Toyota Veloz mula dibuka

Tempahan Toyota Veloz mula dibuka

SHAH ALAM – UMW Toyota Motor mula membuka tempahan untuk model crossover premium baharu dengan tujuh tempat duduk, Toyota Veloz yang merupakan pengganti kepada kepada model Avanza.

Kenderaan model terbaharu yang sudah dilancarkan di Indonesia November tahun lalu itu akan ditawarkan dengan varian 1.5 yang mempunyai spesifikasi tertinggi dan boleh ditempah di semua bilik pameran sah Toyota mulai Jumaat dengan harga anggaran atas jalan (OTR) tanpa insurans RM95,000.

Dilengkapi dengan ciri tersendiri, Toyota Veloz itu menampilkan imej menyakinkan bagi crossover premium dan mempunyai ruang dalaman lebih besar bersaiz kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk keselesaan keluarga.

Model baharu pemasangan tempatan (CKD) itu tersedia dengan lima pilihan warna iaitu silver metallic with black roof; blue metallic with black roof; white; metallic bluish black dan red metallic.

Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran menyifatkan model terbaharu itu sebagai kenderaan berkualiti cemerlang yang akan memberikan pengalaman pengembaraan menyeronokkan kepada penggunanya.

“Kami amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Toyota Veloz serba baharu akan dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia.

“Di UMW Toyota Motor, kami komited untuk berusaha lebih jauh untuk pelanggan kami dan memastikan bahawa mereka hanya mendapatkan yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Toyota Veloz Baharu CKD merupakan pengganti model Toyota Avanza bagi pasaran MPV segmen B Malaysia. Toyota Avanza diperkenalkan dalam pasaran tempatan pada tahun 2004 dan UMW Toyota Motor berjaya menjual lebih 178,000 unit model tersebut.

Selari dengan gaya hidup aktif rakyat Malaysia, Toyota Veloz serba baharu itu mempunyai reka bentuk dinamik dengan mengetengahkan imej crossover premium yang menyerlah dan progresif, sesuai dengan generasi kini dan akan datang.

Penumpang juga boleh menikmati kualiti dalaman kelas premium hasil inovasi terkini Toyota dengan bahagian dalaman yang sangat luas sebesar MPV segmen-C, di samping mempunyai susunan tempat duduk fleksibel untuk pelbagai tujuan.

Tahap pemanduan Toyota Veloz serba baharu itu turut menawarkan prestasi lebih baik berbanding Avanza melalui platform dan suspensi pacuan roda hadapan (FWD) baharunya.

Antara ciri lain yang melengkapkan model Toyota Veloz adalah Brek Letak Elektrik (EPB), pad pengecasan ‘Qi’ tanpa wayar standard global di tempat duduk dan turut dibina dengan Toyota Safety Sense, iaitu teknologi termaju terkemuka dalam segmennya.

Model baharu ini turut menggunakan enjin 1.5L (2NR-VE) yang cekap dengan anjakan berurutan CVT 7- bagi memastikan kelajuan yang menyediakan transmisi kuasa cekap untuk pecutan lancar dan berkuasa, sambil memastikan kecekapan bahan api yang sangat baik.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber