Teladani 12 personaliti Ibadurrahman

Teladani 12 personaliti Ibadurrahman

SHAH ALAM – Walaupun negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akibat pandemik koronavirus (Covid-19), namun program membudayakan al-Quran, Malaysia #QuranHour masih diteruskan bersama rakan sinergi media untuk memperluaskan lagi misi tersebut.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, sinergi media menjadi tonggak utama untuk menyebarkan lagi gelombang al-Quran kepada orang ramai.

Menurut beliau, kempen ini perlu diteruskan agar hasrat mengQurankan bangsa dan mengikhlaskan ummah dapat direalisasikan.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, kerjasama rakan media utama ini sangat diperlukan bagi membangkitkan gelombang al-Quran dalam kalangan masyarakat walaupun kita masih dalam fasa PKPP.

“Usaha memulihkan negara perlu dimulakan dengan memulihkan gaya hidup umat Islam melalui pemahaman mendalam kitab al-Quran.

“Bila semua media bergabung dan kempen berjalan serentak, gelombang luar biasa akan terhasil kerana kita mahu gerakkan kesedaran bukannya majlis membaca al-Quran semata-mata. Kempen ini membawa orang Islam mendekati al-Quran,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Taklimat Sinergi Media Malaysia #QuranHour di Kumpulan Karangkraf hari ini.

Hussamuddin Yaacob

Hussamuddin Yaacob

Antara media yang akan menjayakan kempen tersebut ialah Astro, Kumpulan Media Prima, RTM, Bernama, TV Alhijrah, Utusan Malaysia, Kumpulan Karangkraf, Sinar Harian, IKIMfm dan blogger, DenaiHati Network.

Kempen Malaysia #QuranHour kali keenam ini bertemakan Malaysia Harmoni: Pembinaan 12 Personaliti ‘Ibadurrahman’ akan disiarkan secara langsung melalui stesen TV dan platform digital iaitu TV Alhijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis, Sinar Harian dan Ideaktiv pada 30 Ogos ini pada jam 12 tengah hari hingga 1 petang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal kali ini membawa kelainan apabila surah Ar-Furqan dipilih berserta hadis mengenai empat tindakan Rasulullah SAW ketika masuk ke Madinah selain surah Ar-Rahman.

“Surah Ar Rahman yang ditadabbur bersama World #QuranHour pada 13 Mei lalu telah membawa kita kepada penghayatan empat nikmat terbesar yang ALLAH SWT kurniakan iaitu nikmat al-Quran, komunikasi, keinsanan dan alam sekitar.

“Kali ini kita membawa misi mengQurankan bangsa dan mengikhlaskan ummah dengan pembinaan 12 personaliti ‘Ibadurrahman’ berteraskan surah Al-Furqan.

“Personaliti ‘Ibadurrahman’ adalah gambaran akhlak umat Rasulullah SAW yang mencapai kemuliaan di sisi ALLAH serta seorang hamba kepada Ar Rahman yang melahirkan tindakan yang mengharmonikan sekitarnya dengan menyebarkan salam, memberi makan, menyumbang silaturahim dan bersolat malam ketika orang lain sedang tidur sumber kekuatan diri,” katanya.

Marhaini Yusoff

Marhaini Yusoff

Antara personaliti ‘Ibadurrahman’ ialah tawaduk, berbudi bahasa, bertauhid, sederhana dalam membelanjakan harta, mendirikan solat malam, menyelami ayat-ayat ALLAH dan memohon kebaikan untuk keluarga.

Katanya, usaha ini juga merupakan inisiatif untuk menjadikan ‘Ibadurrahman’ yang akan memacu transformasi peradaban dunia bermula diri sendiri, keluarga, organisasi dan komuniti.

“Ia akhirnya menjadi asas kepada terbinanya sebuah tamadun umat dan negara yang berbudi serta penyayang di bawah naungan keredhaan-Nya.

“Justeru, rakyat Malaysia di dalam dan di luar negara diminta bersama-sama mengimarahkan kempen ini di rumah-rumah agar kita dapat memahami karakter yang terdapat dalam al-Quran sekali gus mencontohinya,” katanya.



Sumber