TEKUN terima peruntukan tambahan RM200 juta

TEKUN terima peruntukan tambahan RM200 juta

JOHOR BAHRU- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional mendapatkan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta menerusi Skim Pembiayaan Informal (SPIN) bagi membantu usahawan yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 dan banjir.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata peruntukan tersebut bagi membantu usahawan mikro, industri kecil dan sederhana (IKS) dan termasuk peniaga informal.

“Sekarang ini saya dengar ramai yang mengadu lambat menerima bantuan, tetapi sebenarnya peruntukan RM200 juta pada Disember lalu telah habis.

“Justeru itu saya telah merayu kepada kerajaan agar menambah lagi peruntukan sebanyak RM200 juta iaitu RM50 juta usahawan mikro dan informal serta RM100 juta untuk usahawan IKS,” katanya pada program Back To School 2022 di Plaza Angsana, di sini, pada Selasa.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang memberitahu seramai kira-kira 13,600 usahawan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dikenal pasti terjejas akibat banjir Disember tahun lepas.

Jelasnya, kementerian juga sedang bekerjasama dengan persatuan penjaja, persatuan IKS, dewan perniagaan dan pihak berkuasa tempatan untuk mengenal pasti usahawan yang terjejas banjir sebelum ini.

“Setiap usahawan terbabit layak membuat pembiayaan maksimum sehingga RM10,000 bagi memulihkan perniagaan masing-masing.

“Selain pembiayaan, kita juga menawarkan moratorium sehingga setahun kepada usahawan terjejas. Pembiayaan SPIN turut menawarkan pembiayaan tanpa caj pada Mei lalu,” katanya.

Sebelum itu, Noh Omar menyampaikan bantuan Back To School kepada seramai 200 pelajar di sekitar Johor Bahru.

Program terbabit dianjurkan UDA Holdings Bhd (UDA) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Pelajar yang menerima sumbangan dari sembilan buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Danga, Sekolah Kebangsaan Kompleks UDA, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru UDA2, Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Rinting, Sekolah Kebangsaan Tasek Utara, Sekolah Kebangsaan Taman Cempaka, Sekolah Kebangsaan Sri Kenanga dan Sekolah Kebangsaan Seri Melati.

Sumber