Tekanan harga dijangka dorong harga pengguna lebih tinggi: MIDF

Tekanan harga dijangka dorong harga pengguna lebih tinggi: MIDF

KUALA LUMPUR – Dengan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia kekal melepasi indeks harga pengguna (IHP) untuk bulan ke-15 berturut-turut, tekanan harga secara menaik yang menjejaskan pengeluar dijangka mendorong harga pengguna lebih tinggi, kata MIDF Research (MIDF).

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Khamis berkata, IHPR Malaysia untuk pengeluaran tempatan yang mengukur kos barangan di pintu masuk kilang, mencatat peningkatan dua digit buat kali pertama tahun ini pada 11.6 peratus untuk bulan Mac 2022.

Pecutan inflasi IHPR ke paras tertinggi empat bulan iaitu +11.6 peratus tahun ke tahun pada Mac 2022 mengatasi jangkaan.

“Bagaimanapun, kenaikan harga barangan utama yang lebih ketara terutamanya pertanian, perhutanan dan perikanan yang meningkat 24.9 peratus tahun ke tahun dan barangan perlombongan (+28.2 peratus tahun ke tahun) secara amnya selaras dengan jangkaan kami memandangkan harga komoditi yang tinggi,” kata MIDF dalam notanya pada Jumaat.

Firma penyelidikan itu berkata, IHPR pembuatan juga meningkat lebih cepat pada +8.9 peratus tahun ke tahun kerana kilang menghadapi cabaran daripada peningkatan kos input dan kekangan bekalan lain.

Sementara itu, kenaikan lebih mendadak dalam IHPR pertanian menunjukkan aliran meningkat berterusan dalam harga makanan kerana pengeluar akan menyalurkan lebih banyak kenaikan kos kepada pelanggan mereka.

“Dalam beberapa bulan akan datang, kami menjangkakan inflasi IHPR yang tinggi akan berterusan kerana pengeluar terpaksa menanggung peningkatan kos input di tengah-tengah cabaran bekalan dan harga komoditi yang tinggi,” tambahnya. – Bernama



Sumber