Teach For Malaysia tawar kandungan pembelajaran dari rumah

Teach For Malaysia tawar kandungan pembelajaran dari rumah

TEACH For Malaysia berkolaboratif dengan Yayasan YTL untuk membangunkan kandungan pembelajaran dalam talian bagi memastikan semua pelajar di Malaysia dapat terus mengikuti pembelajaran dari rumah di sepanjang tempoh penutupan sekolah akibat Covid-19.

Pengerusi Teach For Malaysia, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz berkata, inisiatif tersebut bertujuan membawa pembelajaran dalam talian kepada masyarakat yang kurang berkemampuan selari dengan misi dan nilai teras Teach For Malaysia.

Di samping itu, katanya, ia juga bertujuan memastikan sesi pengajaran di sekolah yang mana Felow mereka ditempatkan dapat diteruskan.

“Yayasan YTL dan FrogAsia memberi peluang kepada Teach For Malaysia untuk membangunkan kandungan yang boleh diakses oleh semua, menerusi platform mereka.

“Kepada ibu bapa dan pelajar, saya ingin menggalakkan anda mengakses sumber pembelajaran dalam talian seperti aplikasi FrogPlay Mobile bagi memastikan semua orang dapat terus belajar sepanjang tempoh yang sangat mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Teach For Malaysia, Dzameer Dzulkifli berkata, Felow Teach For Malaysia dipilih dalam kalangan lepasan universiti dan profesional muda paling berbakat di negara ini.

“Sejak program Felow ini dimulakan pada 2012, 450 Felow Teach For Malaysia telah mencurahkan bakti mereka kepada 130,000 pelajar di sekolah berkeperluan tinggi yang majoritinya daripada kalangan keluarga kumpulan B40,” katanya.

Mata pelajaran Teach For Malaysia-FrogAsia boleh didapati di https://ytlfoundation.org/learn.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *