Tanggungjawab Muslim terhadap kalam ALLAH SWT

Tanggungjawab Muslim terhadap kalam ALLAH SWT

ALHAMDULILLAH atas nikmat ALLAH SWT yang menjadikan kita manusia dan beriman dengan-NYA. Bertambah kesyukuran kita kepada ALLAH SWT yang menurunkan al-Quran untuk dijadikan panduan kehidupan kita.

Namun, bagaimanakah kita menyantuni al-Quran sebagai sahabat sejati?

Daripada Uthman bin ‘Affan RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik manusia antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.” (Riwayat al-Bukhari)

Antara kepentingan membaca al-Quran adalah mendapat syafaat di akhirat. Dalam hadis menyebut, daripada Abi Umamah RA berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya al-Quran itu pada hari kiamat akan memberikan syafaat kepada pembacanya.” (Riwayat Muslim)

Yang penting membacanya, Biar Sekejap Tapi Mantap. Itu jualah tajuk slot perkongsian Pencetus Ummah (PU) Suhaimi Mohd Yunus yang memfokuskan tanggungjawab kita terhadap al-Quran di Majlis Jamuan Hi-Tea anjuran Rumah Ngaji @ Asma’ Sri Kundang di Anjung D’Tasik Biru, Sri Kundang, Rawang, Selangor pada 16 November lalu.

PU SUHAIMI

PU SUHAIMI

Terdapat lima tanggungjawab setiap Muslim terhadap al-Quran kata Suhaimi:

1. Belajar al-Quran

Menjadi tuntutan bagi umat Islam tanpa mengira kedudukan dan keturunan untuk mempelajari al-Quran dengan tartil. Tartil yang dimaksudkan adalah membaca al-Quran dengan bertajwid, makhraj dan sifat. Oleh itu, kita perlu berguru untuk belajar al-Quran dan jangan berhenti belajar selagi hayat masih ada.

ALLAH SWT berfirman: “Atau lebih daripada (seperdua) dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan.” (Surah al-Muzammil, ayat 4)

2. Membaca al-Quran

Jadikan amalan membaca al-Quran setiap hari dalam kehidupan kita.

ALLAH SWT berfirman: “Dengan Kitab itu, ALLAH memberi petunjuk kepada orang yang mengikuti keredaan-NYA ke jalan yang selamat dan (dengan kitab itu juga) ALLAH mengeluarkan mereka daripada gelap-gelita kepada cahaya dengan izin-NYA dan menunjukkan jalan yang lurus.” (Surah al-Ma’idah, ayat 16)

3. Tadabbur al-Quran

Apabila membaca al-Quran, kita perlu memahami isi kandungannya dengan bertadabbur, iaitu mengambil pengajaran daripada mesej ALLAH untuk diamalkannya.

Firman ALLAH SWT: “Kitab (al-Quran) yang KAMI turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pengajaran.” (Surah Sad, ayat 29)

4. Amalkan al-Quran

Bersyukur kepada ALLAH SWT yang menurunkan al-Quran untuk dijadikan panduan hidup kita. Justeru menjadi tanggungjawab kita untuk mengamalkan isi kandungan al-Quran. Rasulullah SAW menjadi suri teladan hidup kita untuk mengamalkan al-Quran.

ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya, telah ada pada diri Rasulullah SAW itu teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat serta yang banyak mengingati ALLAH.” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

5. Sampaikan ilmu al-Quran

Daripada Usman bin Affan RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Orang terbaik daripada kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari) Hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila manusia meninggal dunia terputuslah pahala amalannya kecuali daripada tiga sumber: Sedekah yang berterusan faedahnya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (Riwayat Muslim)

Berusaha pelajari, amalkan al-Quran

PU Suhaimi mengingatkan kita agar sentiasa berusaha mempelajari, memahami dan mengamalkan al-Quran, seterusnya beristiqamah. Mudah-mudahan ALLAH SWT memberi ganjaran syurga bagi mereka yang berpegang teguh kepada ALLAH SWT dan rasul.

Sementara itu, Penggerak Rumah Ngaji @ Asma’ Sri Kundang, Ustaz Mohd Noor Ismail berkata, seramai 150 tetamu termasuk kariah masjid dan surau di sekitar Kundang, Kuang, Bandar Country Home dan Bandar Tasik Puteri hadir mengikuti sesi perkongsian ilmu tersebut, di samping menikmati jamuan minum petang. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Salehuddin Amiruddin.

“Aktiviti tersebut bertujuan melahirkan rasa kesyukuran atas sokongan menjayakan program Rumah Ngaji @ Asma’ Sri Kundang dan meraikan pencapaian dalam kalangan ahli Rumah Ngaji yang kini semakin celik al-Quran.

“Majlis kerohanian berkonsep santai turut mendapat tajaan Masjid Nurul Yaqin Kundang, Pusat Khidmat ADUN Kuang, Pejabat Parlimen Rawang dan ahli Rumah Ngaji @ Asma’ Sri Kundang,” ujar beliau.

Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *