Takaful Ikhlas percepat tuntutan mangsa banjir

Takaful Ikhlas percepat tuntutan mangsa banjir

TAKAFUL Ikhlas General Bhd sedang mempercepatkan proses tuntutan pemegang sijil Pemilik Rumah/Isi Rumah dan Takaful Perlindungan Rumah yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Syarikat itu dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, proses tuntutan membabitkan lebih daripada 300,000 pesertanya akan dipercepatkan melalui Proses Interaktif Maya (VIP).

“Dengan VIP, tuntutan tidak melebihi RM10,000 boleh diproses melalui platform maya dan kelulusan diperoleh dengan segera,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, dengan VIP, tempoh tuntutan hanya mengambil masa dalam tempoh tiga hari.

Syarikat itu telah melaksanakan Proses Automasi Robotik (RPA) untuk mengautomasikan proses tuntutan ‘kerosakan sendiri’ dan ‘cermin depan’ bagi memastikan kelulusan tuntutan selesai dalam masa kurang dari 24 jam.

“Pelanggan adalah fokus utama dan kami ingin memastikan agar mereka menikmati pengalaman terbaik mengenai perkhidmatan serta produk kami,” katanya.

Takaful Iklhlas juga membantu pelanggan yang terjejas banjir melalui program Bantuan IKHLAS Supreme (BIS).

Di bawah inisiatif ini, pelanggan BIS berhak menuntut elaun kesulitan sebanyak RM500 untuk kerosakan banjir yang dialami oleh kenderaan yang dilindungi. – Bernama



Sumber