Takaful Ikhlas, Andalusia jalin kerjasama strategik

Takaful Ikhlas, Andalusia jalin kerjasama strategik

SHAH ALAM – Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful Ikhlas), anak syarikat milik penuh MNRB Holdings Berhad dan agensi pelancongan tempatan, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel & Tours) telah menjalin kerjasama strategik bermula 7 Februari 2022 bagi tujuan melengkapkan peserta haji dan umrah dengan perlindungan takaful yang menyeluruh sepanjang tempoh ibadah tersebut.

Takaful Ikhlas dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu dijangka mampu meningkatkan pendapatan Takaful Ikhlas sebanyak RM9 juta setahun selain memperkukuhkan jenamanya sebagai pengendali takaful yang dipercayai dalam menyediakan perlindungan kepada peserta umrah.

“Selain itu, kerjasama ini juga dijangka dapat melebarkan penguasaan pasaran Takaful Ikhlas dalam segmen takaful perjalanan,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, kerjasama itu juga menyokong inisiatif Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dalam memudahkan ziarah umrah di samping memastikan kebolehlaksanaan dan kesinambungan rakyat Malaysia untuk melaksanakan aktiviti umrah.

“Melalui kerjasama strategik ini, Takaful Ikhlas akan menyediakan produk dan khidmat takaful kepada peserta umrah yang berdaftar dengan Andalusia Travel & Tours. Produk dan khidmat takaful daripada Takaful Ikhlas akan diedarkan melalui Andalusia Tijarah, iaitu unit pengurusan takaful bagi Andalusia Travel & Tours yang mempunyai 40 cawangan di serata negara,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, pihaknya menyokong sepenuhnya usaha Andalusia Travel & Tours dalam memberikan khidmat penyediaan pakej umrah kepada rakyat Malaysia.

“Kami berbesar hati menjadi pengendali takaful eksklusif untuk bekerjasama dengan Andalusia Travel & Tours dalam membantu menyediakan pelbagai perlindungan takaful kepada rakyat Malaysia yang ingin menunaikan ibadah umrah serta melancong bersama Andalusia Travel & Tours,” katanya.

Bagi Pengasas Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ibrahim Mat Sin berkata, Andalusia, berbesar hati kerana Takaful Ikhlas menyediakan pelan perlindungan yang ekstensif untuk memenuhi pelbagai keperluan jemaah umrah.

“Ini membuktikan bahawa Takaful Ikhlas sangat peka kepada masalah peserta umrah yang memerlukan perlindungan tambahan termasuk perbelanjaan perubatan dan kos kuarantin bagi mereka yang positif Covid-19 sebaik sahaja pulang ke tanah air.

“Gabungan kekuatan kerjasama ini serta pembangunan industri umrah dan pelancongan yang memberangsangkan dapat memberikan impak yang positif kepada Takaful Ikhlas dan Andalusia Travel & Tours,” katanya.

Ibrahim berkata, kerjasama itu dapat memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran penyediaan pakej dan pengaturan perjalanan umrah yang menyediakan perlindungan takaful yang komprehensif kepada pelanggannya.

“Selain itu jalinan kerjasama ini juga turut dapat membantu meningkatkan pasaran sedia ada Andalusia Travel & Tours iaitu daripada 30,000 pelanggan kepada lebih 50,000 pelanggan setiap tahun,” katanya.

Sumber