Tak usah bermegah dengan pangkat, kedudukan

Tak usah bermegah dengan pangkat, kedudukan

Zamri menghuraikan pengertian surah al Insan pada sesi tadabbur sempena World #QuranHour dijayakan Pejabat Mufti Perak. - Foto Korporat SUK Perak

Zamri menghuraikan pengertian surah al Insan pada sesi tadabbur sempena World #QuranHour dijayakan Pejabat Mufti Perak. – Foto Korporat SUK Perak

IPOH – Penjawat awam yang berpangkat tinggi tidak perlu sombong dengan kedudukan yang dimiliki, kata Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Berkongsi nilai Surah Al-Insan sempena program World #QuranHour di sini, beliau berkata, kuasa dan kedudukan itu hanyalah pinjaman di dunia semata-mata bagi menguji tahap keimanan seseorang mukmin terhadap ALLAH.

“Pada hakikatnya manusia tidak memiliki apa-apa di muka bumi.

“Anda sebagai berpangkat tinggi dan saya berpangkat rendah, hanya ujian sahaja.

“Jadi bagaimana kita menghadapi ujian itulah yang akan meletakkan kita dalam syurga nanti,” katanya kepada Sinar Harian.

Program World #QuranHour yang masuk tahun ketiga dijayakan Pejabat Mufti Perak itu disertai lebih 300 pegawai dan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Agensi Agama Islam Negeri.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman.

Pengertian dalam surah al Insan ayat 1 hingga 31 yang dipilih pada tahun ini boleh dijadikan inspirasi paling besar bagi semua penjawat awam.

Pengertian dalam surah al Insan ayat 1 hingga 31 yang dipilih pada tahun ini boleh dijadikan inspirasi paling besar bagi semua penjawat awam.

Zamri berkata, pengertian dalam Surah Al-Insan ayat 1 hingga 31 yang dipilih pada tahun ini boleh dijadikan inspirasi paling besar bagi semua penjawat awam.

Katanya, surah itu juga relevan dalam keadaan sifat kemanusiaan seperti kasih sayang dan amanah dalam pekerjaan semakin kering dan kontang.

“Dari ayat pertama lagi, sekiranya penjawat awam itu berpangkat tinggi, jangan sombong. Kalau kita berpangkat biasa, kita boleh menyaingi pangkat tinggi dengan meletakkan kedudukan kita di akhirat,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, penganjuran tahun ini lebih bermakna kerana dapat bekerjasama dengan pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kita akan teruskan pada tahun-tahun akan datang dalam skala lebih besar kerana hasrat kita untuk membudayakan mengaji dan mengkaji ayat-ayat al-Quran di semua peringkat masyarakat negeri ini,” katanya.

Sumber