Tahan Sports pusat sehenti produk sukan tempatan

Tahan Sports pusat sehenti produk sukan tempatan

KEDAI kelengkapan pelbagai barangan sukan, Tahan Sports mengambil inisiatif menjadi pusat sehenti kepada pelbagai jenis produk sukan yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia.

Pengasasnya, Mohd Fuad Rahim berkata, terdapat lebih 10 jenama barangan sukan tempatan boleh didapati di premis berkenaan yang terletak di Malakat Mall, Cyberjaya.

“Ini merupakan salah satu keunikan di Tahan Sports kerana kami menawarkan barangan sukan yang direka oleh rakyat tempatan bersesuaian dengan aktiviti sukan di negara ini, cuaca dan cita rasa rakyat tempatan.

“Antara jenama barangan sukan buatan yang terdapat di Tahan Sports ialah Sportsevo, Abstrax dan Capo Apparels,” katanya kepada Bisnes Sinar.Lelaki berusia 36 tahun itu berkata, sebanyak 60 peratus barangan sukan yang terdapat di Tahan Sports merupakan hasil kreativiti anak tempatan manakala selebihnya adalah jenama antarabangsa.

“Tahan Sports juga bekerjasama dengan sebuah jenama sukan dari Indonesia khusus untuk wanita iaitu Noore,” katanya yang mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi maklumat.

Mohd Fuad berkata, beliau memberi fokus kepada barangan sukan kerana yakin perniagaan tersebut mempunyai potensi yang besar dan sedang membangun di Malaysia. “Saya menjangkakan perniagaan barangan sukan ini mampu memberikan pulangan yang baik dalam jangka masa panjang.

“Tambahan pula, Tahan Sports menyediakan produk yang berbeza daripada pemain industri sedia ada kerana jenama yang disediakan di sini tidak terdapat di pusat jualan peralatan sukan lain,” katanya.

Tahan Sports menawarkan lebih 1,000 barangan sukan seperti pakaian, kasut, beg, barangan kelengkapan untuk berkhemah dan sebagainya pada harga yang kompetitif.

Kelebihan tersebut menyebabkan syarikat yang ditubuhkan pada Mac lepas itu menjadi tumpuan ramai, khususnya penggemar sukan.

Justeru, Tahan Sports meletakkan harapan untuk menjadi jenama yang mendominasi pasaran pada masa hadapan.

Sukan lasak

Selain menjual produk sukan, Mohd Fuad berkata, Tahan Sports juga menawarkan perkhidmatan aktiviti sukan lasak di gunung, laut dan sebagainya secara berkumpulan.

Menurutnya, mereka juga mendidik dan memberikan pendedahan kepada pelanggan mengenai pelbagai maklumat berkaitan aktiviti sukan lasak dan bagaimana berdepan dengan cabaran ketika berada di hutan dan laut untuk kelangsungan hidup (survival).

“Kami menyediakan perkhidmatan ini kepada pelanggan yang mengikuti aktiviti lasak yang kami anjurkan di Hutan Belum, Perak serta Pulau Tenggol dan Pulau Perhentian di Terengganu.

“Ketiga-tiga lokasi berkenaan menyediakan pelbagai aktiviti lasak yang menarik dan mempunyai keunikan tersendiri antaranya ialah aktiviti zipjump di Hutan Belum, menyelam (Pulau Tenggol) dan survival (Pulau Perhentian),” katanya.

Di samping itu, katanya, Tahan Sports juga menyediakan brainy rangers iaitu sebuah skuad yang akan membantu pelanggan melakukan aktiviti sukan dengan selamat.

“Kami memperkenalkan konsep bercuti sambil belajar dengan menekankan konsep family adventure untuk menggalakkan gaya hidup yang sihat dengan melakukan aktiviti sukan bersama.“Melalui cara ini mereka boleh dapatkan produk aktiviti sukan lasak pada harga yang berpatutan di dalam pakej aktiviti sukan disertai,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Mohd Fuad berkata, Tahan Sports juga menyediakan aktiviti lasak terbang kelawar (zipline) sepanjang 60 meter.

Jelasnya, platform aktiviti tersebut yang berada pada ketinggian kira-kira 30 meter terletak di atas bumbung bangunan Malakat Mall.

“Tahan Sports merupakan kedai sukan pertama di Malaysia yang menyediakan pergerakan lompat bangun ke bangunan di pusat beli-belah dan bandar.

“Pengunjung yang menyertai aktiviti ini dikenakan bayaran serendah RM39,” katanya.



Sumber