Syarikat tempatan tandatangani 8 MoU, jana pelaburan RM197 juta

Syarikat tempatan tandatangani 8 MoU, jana pelaburan RM197 juta

DUBAI – Syarikat di Malaysia menandatangani lima memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat-syarikat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi memacu pertanian lestari antara dua negara.

Selain itu, syarikat-syarikat Malaysia juga bertukar MoU bersama syarikat-syarikat dari Mesir, Jerman dan Maldives serta menjadikan MoU yang ditandatangani kepada lapan dengan jumlah pelaburan keseluruhan lebih RM197 juta.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menjelaskan, MoU tersebut merangkumi kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan, perdagangan dan pengedaran, akses pasaran, aktiviti komersial, pelaburan, pemindahan teknologi serta penjualan, pemasaran produk dan perkhidmatan.

Menurutnya, kerjasama berkenaan akan meningkatkan usaha pertanian lestari kerajaan Malaysia selain dapat menangani masalah perubahan iklim.

“Malaysia berada di barisan hadapan dalam mencari penyelesaian lestari bagi menangani masalah pengeluaran makanan dan keselamatan.

“Minggu Pertanian Lestari Malaysia di Expo 2020 Dubai adalah satu inisiatif penting yang akan memacu dan meningkatkan peluang pelaburan dan kerjasama dalam pertanian lestari dan menyemarakkan usaha menentang perubahan iklim.

“Kami percaya komitmen UAE terhadap pemikiran inovatif dan pembangunan lestari akan mempercepatkan hala tuju Malaysia ke arah penggunaan teknologi dan pemodenan dalam pertanian,” katanya.

Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah semasa merasmikan minggu tersebut.

Bidang tumpuan utama yang digariskan dalam MoU tersebut termasuklah biodiversiti kepada kesejahteraan, buah-buahan tanah tropika dan hasil sampingannya, pertanian bandar pintar, penyelesaian pertanian pintar dan sisa kekayaan.

Di samping itu, tumpuan khas juga akan diberikan kepada kelestarian masakan, teknologi dan penyelesaian pertanian termaju serta peluang pelaburan untuk kelestarian pertanian.

Minggu Pertanian Lestari bermula 21 Februari hingga 26 Februari serta dijangka dapat menarik lebih 2,000 pengunjung dan delegasi.

Dengan penyertaan lebih 20 syarikat dan organisasi Malaysia, acara ini menyasarkan untuk menarik kerjasama global dan platform perkongsian pengetahuan bagi mencipta peluang dan penyelesaian baharu melalui pertanian lestari untuk menangani isu-isu kritikal seperti pandemik Covid-19, kemiskinan serta perubahan iklim.

Dalam pada itu, Ronald memaklumkan, UAE merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia di Timur Tengah dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara melebihi RM25 bilion pada 2019.

Tambahnya, UAE masih kekal sebagai rakan dagangan pertanian pilihan Malaysia disebabkan statusnya sebagai hab perdagangan dan kewangan antarabangsa utama bagi kawasan Timur Tengah dan Afrika Utara.

“Disebabkan populariti dan pengaruhnya yang semakin meningkat dalam sektor perdagangan dan kewangan di rantau ini, UAE menonjol sebagai rakan kongsi penting bagi Malaysia.

“Kerjasama dan perkongsian kami akan membantu pengeluar pertanian Malaysia untuk mengakses pasaran baharu dalam pertanian mampan dengan mudah bukan sahaja di UAE tetapi di seluruh rantau Timur Tengah.

“Malaysia juga akan berfungsi sebagai pintu masuk untuk produk dan perkhidmatan UAE di Asia Tenggara,” jelasnya.

Sumber