SUV mewah Rolls-Royce Cullinan

ROLLS-Royce Motor Cars Kuala Lumpur, pengedar utama kenderaan mewah Rolls-Royce di Malaysia menjanjikan pengembaraan serba mewah dengan pelancaran model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharunya, Cullinan.

Cullinan adalah nama yang diilhamkan daripada berlian terbesar yang pernah ditemui di dunia.

Pengarahnya, Anas Zawawi Khalid, berkata harga seunit Rolls-Royce Cullinan yang berciri Bespoke ialah RM1.8 juta sebelum cukai, bergantung kepada spesifikasi yang dikehendaki pelanggan.

Cullinan sangat sesuai untuk pemanduan di jalan raya yang luas dan ‘off-road’, melengkapi gaya hidup pembeli yang menggemari cabaran lasak.

”Seperti model Rolls-Royce yang lain, Cullinan dibina dengan kerangka unik ‘architecture of luxury’ yang mampu meningkatkan tahap prestasi dan keselesaan luar biasa segmen SUV.

“Kenderaan segmen SUV sentiasa berjaya menarik minat pelanggan baharu yang lebih muda dan berkerjaya, khususnya mereka yang mencari kelainan dalam segmen serba mewah.

“Malah, kami begitu teruja dengan tempahan model SUV mewah ini kerana syarikat mempunyai pelanggan yang kukuh untuk jenama ini,” katanya.

Kuasa dan penampilan

Dengan saiz fizikal yang jelas kelihatan besar, Cullinan mempunyai dimensi 5,341 mm panjang, 2,164 mm lebar, dan 1,835 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,295 mm.

Cullinan ditawarkan dengan dua pilihan rekaan dalaman iaitu versi empat dan lima tempat duduk, menjadikan ia sangat sesuai untuk mereka yang berkeluarga.

Bagi versi empat tempat duduk, dua tempat duduk belakang diasingkan dengan konsol tengah tetap yang digabungkan dengan kabinet minuman dan kotak penyejuk.

Roda 22-inci memberikan keseimbangan, manakala profil sisinya diasingkan oleh kepingan logam seperti lembing Saxon, menuju ke bawah permukaan pintu, menyerlahkan lagi keindahan pada sisi kereta.

Tema rekaan lampu belakang juga diringkaskan dengan dua unit menegak yang memancarkan cahaya dan dihiasi jalur aksesori nipis di tengah-tengahnya. Ciri fungsional yang terakhir ialah paip eksos logam dan plat kelincir yang terdedah, kedua-duanya melambangkan kuasa dan kebolehan Cullinan.

Versi lima tempat duduk, keseluruhan tempat duduk belakang dapat dilipat secara elektronik, menghasilkan ruang muatan lebih besar dengan pembahagian 2/3 dan 1/3, mengukuhkan lagi ciri praktikalnya.

Keistimewaan lain adalah pada ruang butnya yang besar – 560 liter, atau 600 liter apabila rak ditanggalkan. Apabila tempat duduk belakang dilipat, Cullinan dapat membawa muatan sepanjang 2,245mm dan muatan seberat 1,930 liter, salah satu yang terbesar dalam segmen SUV mewah.

Teknologi terkini

Penggunaan sistem suspensi udara boleh laras membolehkan SUV ini direndahkan atau dinaikkan sebanyak 40 mm. Penumpang memasuki kenderaan melalui pembukaan pintu yang luas dan berhendal sensitif sentuh, iaitu akan tertutup secara elektronik.

Selain itu, ruang kabinnya juga dilengkapi dengan ciri-ciri seperti bumbung kaca panoramik, sistem audio bespoke dengan 18-saluran dan 18-pembesar suara, sistem hiburan kendalian melalui skrin sentuh serta meja berkelah khusus yang direka untuk meningkatkan lagi tahap kemewahannya.

Seperti kenderaan masa kini, Cullinan juga menawarkan kemudahan mengecas peralatan elektronik melalui port USB di dalam kabin; sementara telefon dapat dicas secara wayarles di hadapan kabin. Untuk pemandu, dibina konsol pusat dengan alat kawalan spirit of ecstasy yang ikonik, butang off-road, butang kawalan turun bukit dan kawalan pelarasan ketinggian suspensi udara.

Ciri keselamatan

Cullinan hadir antara lain dengan ciri termaju seperti Night Vision dan Vision Assist yang boleh mengesan manusia dan haiwan liar; bantuan kepekaan; sistem dengan empat kamera dengan pandangan panoramik, active cruise control; amaran perlanggaran; amaran lintasan trafik, amaran pertukaran lorong; HUD dengan saiz 7×3 inci resolusi tinggi, hotspot WiFi, sistem tunjuk arah dan ciri-ciri keselamatan standard lain.

Selebihnya, Rolls-Royce Cullinan ini boleh dipadankan dengan perincian dan selera yang berbeza-beza mengikut bakal pemiliknya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *