Sut kombinasi baju, seluar motif funky

Sut kombinasi baju, seluar motif funky

DUA tahun lalu, spacemarketnow.com mendedahkan pasaran dan trend industri fesyen kanak-kanak akan mengalami pertumbuhan peningkatan antara tahun ini hingga tahun 2021.

Memetik laporan tersebut, hasil kajian yang dijalankan mendapati industri fesyen kanak-kanak peringkat global bakal menyaksikan gelombang positif baik dari sudut persaingan mahupun permintaan.

Ia berikutan golongan ibu dan bapa pada hari ini semakin peka pada pemakaian dan stail sebaik sahaja anak-anak dilahirkan.

Sementara itu, pemilihan busana pula tidak hanya bergantung dari aspek warna dan corak, malah jenis fabrik turut menjadi keutamaan kerana kulit mereka masih sensitif.

Atas faktor tersebut, sebahagian besar jenama pakaian kanak-kanak antarabangsa lebih cenderung memilih kain kapas sebagai material utama kerana ia tidak menjejaskan kulit halus bayi dan kanak-kanak.

Di Malaysia juga tidak terkecuali apabila label Yay Kidstore yang diusahakan pasangan suami isteri, Mohd Khairul Ghazali, 36, dan Jezmine Zaidan turut menjadikan fabrik kapas pelbagai jenis sebagai material utama dalam menghasilkan koleksi pakaian, rompers. Menurut Pengasas Bersama dan Pengarah Kreatif Yay Kidstore, Jezmine, kain tersebut menjadi pilihan dek sifatnya yang ringan dan bersesuaian dengan cuaca di negara ini.

“Lagipun kain kapas bukan sahaja memudahkan pergerakan, bahkan menjaga kondisi kulit kana-kanak dalam apa jua keadaan.

“Selain itu, pakaian berasaskan kain kapas juga senang dijaga dan dibentuk,” jelas beliau kepada Femina baru-baru ini.

Ditebak mengapa memilih bisnes pakaian kanak-kanak, wanita genit berusia 35 tahun yang memiliki latar belakang pendidikan dalam jurusan rekaan fesyen itu memberikan jawapan ringkas.

“Busana kanak-kanak lebih mudah dihasikan kerana eksperimentasi dan imaginasi rekaannya tiada sempadan serta menyeronokkan,” tutur Jezmine.

Persoalannya, mengapa para ibu dan bapa yang mempunyai anak kecil berusia antara tiga hingga lima tahun harus memiliki item fesyen rompers jenama Yay Kidstore?

Ikuti perkongsian lanjut beliau bersama wartawan Femina, IZYAN LIYANA MOHD DARIF sempena edisi Indeks Fesyen kali ini.

1 Mengapa Yay Kidstore memilih Romper sebagai signatur utama bukannya baju-T atau seluar yang dijual secara berasingan?

JEZMINE: Item fesyen (rompers) merangkap baju dan seluar menjadi pilihan selepas mengambil kira beberapa faktor utama melibatkan golongan ibu dan bapa serta kanak-kanak. Umum mengetahui, bukan mudah menyiapkan anak-anak berusia tiga tahun ke bawah kerana mereka sukar untuk duduk setempat dalam tempoh masa yang lama.

Ini berikutan pada usia tersebut pergerakan anak-anak sangat aktif dan lincah sehingga menyukarkan ibu atau bapa menyarungkan pakaian. Kadangkala lumrah kanak-kanak baru sahaja memakai lampin, belum sempat mengenakan baju dan seluar mereka akan terus berlari ke sana sini.

Justeru, bagi mengatasi situasi ‘huru-hara’ itu, kami (Yay Kidstore) menampilkan koleksi rompers yang mengambil masa kurang dari 30 saat sahaja untuk disarungkan pada badan anak-anak.

Selain ringkas dan cepat, rompers turut dijual pada harga lebih rendah berbanding membeli baju dan seluar berasingan.

2 Jelaskan lebih lanjut keistimewaan rompers label Yay Kidstore?

Seperti dilihat, sifat rekaan rompers itu sendiri adalah kombinasi baju dan seluar yang memudahkan ibu atau bapa menyiapkan anak-anak. Pada masa sama, tidak perlu memikirkan item fesyen yang bersesuaian untuk mempraktikkan konsep suai dan padan.

Tambahan pula, rompers Yay Kidstore dihasilkan dalam konsep jenis sarung tanpa melibatkan sebarang butang ataupun zip bersilang bagi menyenangkan urusan persiapan si kecil.

3 Apakah jenis fabrik menjadi keutamaan Yay Kidstore?

Rompers kami diperbuat daripada fabrik kapas. Selain Combed Jersey, Yay Kidstore turut menggunakan kain kapas jenis Spandex Jersey dan Sometimes Organic. Pemilihan material berkenaan adalah untuk menyuntik keselesaan terhadap kanak-kanak kerana ia bersifat sejuk dan lembut serta sesuai dengan kulit.

Pada masa sama, kain kapas juga bersesuaian dengan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun di negara ini.

Sementara itu, untuk mengekalkan struktur bahagian leher bagi memudahkan proses menyarung, kami amat menitikberatkan kualiti kolar ribbing supaya pakaian kembali pada bentuk asal.

4 Jika diperhatikan koleksi rompers Yay Kidstore bermain dengan variasi corak ceria dan funky. Dari mana lahirnya idea menghasilkan corak sedemikian?

Lazimnya, sebelum menampilkan koleksi baharu, saya dan suami akan berbincang dari segi, inspirasi, corak dan permainan warna. Peringkat diskusi penting bagi memastikan identiti rekaan rompers Yay Kidstore tidak tersasar daripada landasan ditetapkan.

Corak yang menjadi pilihan mestilah unik dan quirky (aneh) supaya rompers label ini lain daripada lain. Ini termasuklah, menerapkan motif ceria, funky dan berwarna-warni.

5 Adakah rompers jenama ini hanya sesuai digayakan kanak-kanak perempuan?

Semestinya tidak. Kebanyakan corak yang diterapkan pada rompers Yay Kidstore ideal digayakan baik kanak-kanak perempuan mahupun budak lelaki. Bagaimanapun, terdapat sebahagian koleksi memang direka khas untuk kanak-kanak perempuan.

Selain itu, rompers kami bukan sahaja sesuai dipakai di dalam rumah, bahkan selesa disarungkan ketika melakukan aktiviti di padang atau taman rekreasi memandangkan jenis kain yang digunakan memudahkan pergerakan kanak-kanak.

ANEKDOT

Nama penuh: Jezmine Zaidan

Umur: 35 tahun

Pendidikan:Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam

Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, UiTM Shah Alam

Suami: Mohd Khairul Ghazali

Anak: Zaria Mohd Khairul dan Mohamad Zarif

Info Yay KidstoreHarga: RM50-RM119 sepasang

Saiz:

3 hingga 6 bulan

4 dan 5 tahun

Facebook: facebook.com/YAYkidstore

Instagram: @yaykidstore

E-mel: [email protected]



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *