Surah Al-Sajdah bukti ALLAH sentiasa terima taubat

Surah Al-Sajdah bukti ALLAH sentiasa terima taubat

KAJANG – Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia menganjurkan program ‘Jom Mengaji Sebelum Tidur (JMST) Edisi Khas: Dari Penjara Menggapai Syurga’ sempena Hari Penjara ke-232 pada Jumaat.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf berkata, JMST menjadi gelombang ajakan secara besar-besaran dalam menuju misi World #QuranHour 2022.

“JMST diharapkan menjadi pencetus kepada orang ramai untuk baca, faham dan amalkan surah tersebut dalam kehidupan.

“Iktibar kepada kita, tidak semestinya seorang pendosa tiada pengakhiran baik di sisinya. ALLAH SWT Maha Pemaaf dan menerima taubat hambanya,” katanya.

Beliau berkata, JMST bersama Jabatan Penjara membawa surah Al-Sajdah ayat 18 hingga 22 dan surah Yusuf, ayat 33 dan 35 (kisah Nabi Yusuf di penjara) untuk ditadabbur.

Program yang diadakan Masjid Jabatan Penjara Malaysia itu turut disiarkan secara langsung di platform Zoom dan Facebook Live Sinar Harian, QuranHour, TickTalk TV dan Jabatan Penjara Malaysia.

Acara dimulakan dengan bacaan surah al-Sajdah yang dibimbing oleh qari Pembantu guru agama Penjara Kajang, Sarjan Muhammad Hafis Mohamad Foizi, dan Ustaz Husaini Mahmur, Qari My #HadithTime.

Sesi tadabbur dibawakan oleh Jurulatih utama Tadabbur Centre Sdn Bhd, Ustaz Syaari Ab Rahman manakala perkongsian daripada dua banduan akhir dari Penjara Kajang diselaraskan oleh Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Penjara Kajang, Zuliadaini Shafii.

Menurut Ahmad Yani, antara mesej penting daripada perkongsian tersebut adalah tiada insan suci yang tiada masa lampau dan tiada insan berdosa yang tiada masa depan.

“Setiap jiwa pasti akan merasai mati suatu hari nanti. Manusia yang beruntung ialah dia telah kembali kepada ALLAH kepada tuhannya sebelum dia mati,” katanya.



Sumber