SME Bank luluskan 940 permohonan SRF

SME Bank luluskan 940 permohonan SRF

SME Bank telah meluluskan 940 permohonan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) berjumlah sehingga RM503.04 juta menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat.

Selain SRF, bank berkenaan turut memproses sebanyak 15 permohonan AgroMakanan (AF) bernilai RM7.83 juta.

“Ini merupakan antara dana yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu usahawan terjejas akibat koronavirus (Covid-19) di samping Kemudahan Automasi dan Digital (ADF) serta Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) yang turut ditawarkan oleh SME Bank,” menurut bank itu dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Aria Putera Ismail berkata, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), SME Bank telah diberi kepercayaan untuk menguruskan dua dana penting dalam usaha menyokong kelangsungan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya sektor pembinaan, perkhidmatan dan pembuatan.

“Kami telah memperuntukkan dana sebanyak RM1.6 bilion untuk Skim SME Go dan RM500 juta bagi Dana Transformasi Teknologi PKS (STTF),” katanya. – Bernama



Sumber