Sibuk bukan alasan tidak baca al-Quran

Sibuk bukan alasan tidak baca al-Quran

SHAH ALAM – Kesibukan tidak boleh dijadikan alasan untuk umat Islam tidak membaca al-Quran, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff.

Menurutnya, umat Islam yang sering menjadikan kesibukan mereka sebagai halangan untuk mendekati dan membaca al-Quran perlu mengubah minda.

“Kita selalu kata sibuk sebab itu tak baca al-Quran tetapi sebenarnya kita jadi sibuk kerana tidak membaca al-Quran.

“Mungkin kita juga sudah hilang ‘baraqah’ masa kerana tidak membaca al-Quran,” katanya ketika temubual secara langsung Gema Wahyu sempena Malaysia #QuranHour 2019 di Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Menurutnya, sebelum ini beliau sendiri mempunyai masalah pernafasan pendek untuk membaca al-Quran tetapi tidak menjadikan ia sebagai halangan utama.

“Saya amalkan baca al-Quran setiap hari, akhirnya ada perubahan dan saya kini boleh mengawal pernafasan dengan lebih baik.

“Jadi jelas, sebab ada masalah kita kena baca al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Johan Qari Kebangsaan dan Antarabangsa 2011, Amirahman Abas yang merupakan salah seorang qari yang akan terlibat dengan program Malaysia #QuranHour 2019 pada 30 Ogos ini turut senada dengan Marhaini.

Marhaini (kanan) dan Amirahman (tengah) ketika temubual secara langsung Gema Wahyu sempena Malaysia #Quranhour 2019 di Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Marhaini (kanan) dan Amirahman (tengah) ketika temubual secara langsung Gema Wahyu sempena Malaysia #Quranhour 2019 di Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Beliau berkata, seseorang itu tidak perlu takut untuk membaca al-Quran atau menjadikan masalah tertentu sebagai penghalang untuk tidak membaca al-Quran.

“Jangan fobia atau takut, cuba dulu baru tahu. Sepanjang pengalaman saya, ada ramai yang tidak boleh sebut huruf ‘L’, ‘R’ termasuk alami masalah nafas pendek ketika baca al-Quran. Jadi kena cari guru dan belajar, baru kita rasa seronok.

“Program #QuranHour juga sebenarnya menjadikan kita terbuka hati untuk belajar. Bila sudah belajar, baru kita tahu sama ada suka atau tidak,” katanya mengakui program tersebut memberi impak baik bukan sahaja kepada generasi muda, pesara mahupun organisasi tetapi juga penyelesaian kepada masalah sosial dalam kalangan remaja atau keluarga bermasalah.

Beliau berkata, terdapat hadis mengatakan sebaik-baik teman ialah al-Quran dan bertepatan dengan itu, program yang dilaksanakan WUIF termasuk #QuranHour berperanan untuk menarik golongan yang bermasalah ini untuk mendekati dan membaca al-Quran.

“Kita mahu orang rasa al-Quran ini kawan mereka dan insya-ALLAH apabila mereka dekati al-Quran segala masalah, tabiat kurang baik, perangai tak elok akan dapat dibendung.

“Orang yang baca al-Quran dengan cara benar pertama mereka akan baiki bacaan, kemudian belajar sedikit maksud bacaan dan kemudian hati mulai tadabbur dan rasa seronok. Bila ada Quran dalam diri, mereka boleh kawal sendiri tingkah laku,” katanya.

Dalam pada itu, Marhaini menyeru orang ramai untuk bersama menggemakan surah al-Kahf pada 30 Ogos ini termasuk menghayati pesan kemerdekaan menerusi 10 ayat pertama dan 10 ayat terakhir Surah Al-Kahf bermula jam 11 pagi hingga jam 12 tengah hari di Masjid Putra, Putrajaya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *