SIBS 2023 sasar capai potensi jualan RM1.5 bilion

SIBS 2023 sasar capai potensi jualan RM1.5 bilion

SIDANG Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 bakal berlangsung bermula pada 19 sehingga 22 Oktober ini menyasarkan mencapai potensi jualan RM1.5 bilion, di samping menarik 50,000 pengunjung.

Exco Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, acara selama empat hari itu merangkumi keseluruhan lapan dewan ekspo dan dua dewan persidangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

“Invest Selangor sekali lagi mengetuai jawatankuasa penganjur dan menampilkan sejumlah enam acara unik serentak antaranya Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

“Empat acara lagi ialah Ekspo Taman Perindustrian Selangor (SPARK 2023), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC 2023), Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC 2023) dan Ekspo R&D Dan Inovasi Selangor (SRIE 2023).

“Di samping program utama ini, SIBS 2023 turut menampilkan tiga acara lain iaitu Selangor International Culinary Festival (SICF), Selangor International Healthcare Conference (SIHC) dan Selangor International Business Summit Invitational Golf Tournament 2023,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Bagi pempamer yang ingin menyertai acara ini bagi mempamerkan jenama dan perniagaan mereka boleh menghubungi urusetia di Invest Selangor sebelum 31 Mac untuk menikmati diskaun sehingga 30 peratus.

Chang Khim berkata, SIBS adalah platform hebat untuk industri perniagaan mempamerkan jenama dan perkhidmatan mereka kepada khalayak yang pelbagai daripada pelbagai industri dan negara.

Beliau berkata, dengan mengambil bahagian dalam SIBS, pihaknya berharap peserta mendapat pendedahan diperlukan khusus yang berpotensi menarik pelanggan baharu, sekali gus membawa kepada pertumbuhan perniagaan.

“Bagi mereka yang berminat untuk menaja dan meningkatkan keterlihatan jenama anda melalui SIBS 2023, anda boleh menghubungi urusetia kami di Invest Selangor.

“Saya juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami baru sahaja membuka pendaftaran pelawat kami dan bagi yang berminat untuk melawat, sila daftar di www.selangorsummit.com,” katanya.

Pada tahun lalu, SIBS berjaya mencatat potensi rundingan jualan bernilai RM1.45 bilion iaitu jumlah tertinggi sepanjang sejarah penganjurannya.

Sementara pada tahun ini, Chang Khim turut menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 pelawat perdagangan menyertai sidang kemuncak perniagaan terbesar di Asia, mengatasi 40,342 yang direkodkan tahun lepas.

Bertemakan Selangor Pintu Gerbang Asia, SIBS 2023 yang dianjurkan sejak 2015 itu menyediakan 1,050 reruai di lapan dewan ekspo dan dua dewan persidangan.

Pada 2020, acara itu dibuat secara dalam talian susulan Covid-19 membabitkan 286 pempamer dan dilakukan secara hibrid pada 2021 meliputi 494 pempamer secara fizikal dan 623 (dalam talian) manakala 906 pempamer tahun lalu.

Sumber