Shuib Sepahtu duta jenama KK

Shuib Sepahtu duta jenama KK

PELAWAK tanah air, Shahmira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu dilantik sebagai duta rasmi bagi rangkaian jenama Kumpulan Syarikat KK.

Difahamkan, pelantikan bintang komedi itu adalah selaras dengan misi dan visi syarikat berkenaan di samping mempromosikan lagi rangkaian jenama itu.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat KK, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, Shuib dapat memainkan peranan dalam membantu mengukuhkan jenama anak syarikat berkenaan antaranya seperti KK Super Mart, KK Concept Store, KK Fresh, Baiwago Plus Cafe dan beberapa lagi.

“Sebagai permulaan, Shuib akan memulakan peranan sebagai duta KK Super Mart dan seterusnya diikuti dengan anak syarikat lain di bawah Kumpulan Syarikat KK.

“Shuib akan terlibat dalam beberapa aktiviti pemasaran syarikat selepas ini seperti KK Jom Kongsi Raya, Larian Amal iSUKEWP, Karnival Muzik KK dan banyak lagi,” katanya pada sidang akhbar bagi memperkenalkan duta jenama itu di sini semalam.

Dalam pada itu, KK Chai berkata, KK Super Mart mula berkembang sejak tahun 2001 dan sehingga kini rangkaian kedai serbaguna itu mempunyai sebanyak 435 outlet di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, bagi memastikan setiap lapisan pelanggan dapat menikmati tawaran harga lebih baik, pihaknya sentiasa membuat perbandingan dengan pemain industri peruncitan lain di negara ini.

“Kami turut memperluaskan rangkaian perniagaan kami bagi memberi perkhidmatan terbaik buat pelanggan,” kata beliau.

Sementara itu, Shuib berkata, dia berbesar hati apabila dipilih sebagai duta syarikat berkenaan.

Katanya, dia juga berharap agar Kumpulan Syarikat KK dapat memperluaskan lagi rangkaian perniagaannya ke peringkat antarabangsa selepas ini.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *