Shiha Zikir, bintang versatil yang tidak asing lagi di persada seni suara, kembali mencuri perhatian dengan single terbaharunya, Pelangi Kelabu. Lagu ini, hasil kolaborasi bersama Alternate Records, memikat hati pendengar dengan melodi pop balada yang menusuk jiwa serta lirik yang sarat emosi. Bukan hanya sekadar karya muzik, Pelangi Kelabu turut dipilih sebagai runut bunyi untuk drama popular Marina, yang boleh ditonton secara eksklusif melalui aplikasi Tonton setiap Isnin hingga Khamis.
Pelangi Kelabu menceritakan kisah pergelutan emosi akibat perpisahan yang menyakitkan. Ia menggambarkan bagaimana seseorang cuba menerima hakikat patah hati sambil mencari kekuatan untuk terus bertahan. Liriknya menggunakan elemen hujan dan air sebagai metafora, melambangkan kedalaman kesedihan dan kerinduan yang melingkari hati protagonis.
Dalam bahagian korus, mesej kesedihan dan kerinduan jelas terpancar, di mana protagonis berlindung di bawah langit mendung, menyembunyikan tangisan yang tidak terluah sambil merindui cinta yang tidak mungkin kembali. Seperti pelangi yang kehilangan warnanya, Pelangi Kelabu menjadi simbol harapan yang pudar. Namun, lagu ini turut menyisipkan mesej positif bahawa kebahagiaan akan muncul selepas badai kesedihan berlalu.
Shiha Zikir berkongsi pengalamannya merakam lagu ini, “Saya jatuh cinta dengan Pelangi Kelabu sejak kali pertama mendengar demo lagu ini. Emosi yang terkandung sangat mendalam, sesuai dengan tema drama Marina. Proses rakaman sangat lancar, hanya mengambil masa tiga jam sahaja kerana kerjasama hebat bersama John Jeeves yang banyak membantu.”
Walau begitu, cabaran utama buat Shiha adalah untuk menghayati mood dan intipati lagu sepenuhnya. “Saya benar-benar meletakkan diri saya dalam lagu ini, membayangkan rasa sakit yang dirasai oleh seseorang yang sedang berdepan kehilangan. Saya berharap penyampaian ini dapat dirasai oleh pendengar. Lagu ini sangat dekat dengan situasi yang ramai daripada kita pernah lalui—kekecewaan dan cabaran untuk terus melangkah ke hadapan,” tambah Shiha.
Pelangi Kelabu merupakan hasil ciptaan John Jeeves, Iqie Hugh, dan Omar K. Lagu ini diinspirasikan daripada bayangan bahawa kesedihan mampu menenggelamkan kebahagiaan, seperti pelangi yang sepatutnya penuh warna-warni, namun akhirnya bertukar kelabu.
John Jeeves memuji kemampuan Shiha untuk menyampaikan pelbagai lapisan emosi melalui nyanyiannya. “Shiha datang ke studio dengan penuh persediaan dan idea kreatif. Penyampaian vokalnya yang asli sangat memukau. Lagu ini adalah karya istimewa yang kami harap dapat menyentuh hati pendengar dan memperkenalkan sisi baru Shiha dalam dunia seni.”
Menurut John Jeeves, Pelangi Kelabu bukan sekadar lagu biasa, tetapi sebuah pengalaman emosi yang mendalam. Gabungan lirik penuh makna, melodi memikat, dan penghayatan Shiha yang autentik menjadikan lagu ini karya yang patut didengari. “Kami berharap lagu ini diterima baik oleh pendengar, meninggalkan impak mendalam, dan menjadi satu lagi kejayaan besar dalam karier Shiha Zikir,” katanya.
Pelangi Kelabu kini tersedia di platform penstriman seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Lagu ini juga boleh dimuat turun melalui iTunes. Pendengar dijemput untuk menyelami keindahan melodi dan penceritaan mendalam lagu ini.
Untuk mengikuti perkembangan terkini Alternate Records & Talents serta projek-projek menarik yang akan datang, layari laman media sosial mereka di Facebook, Instagram (@alternate.my_), dan TikTok (@alternate.rt_).