Shark Hydrographic pakar ‘celup’

Shark Hydrographic pakar ‘celup’

TERDAPAT pelbagai kaedah untuk mengubahsuai kereta pada masa kini. Tujuannya sama ada untuk peningkatan prestasi atau mentransformasikan luaran kenderaan atau kosmetik.

Jika mementingkan aspek ketrampilan, sudah pasti pada akhir modifikasi, hasil yang mahu dilihat adalah luar biasa.

Antara diidamkan, jentera bertambah ‘cantik’ atau canggih dengan aksesoriaksesori yang tampak mahal.

Sekiranya itu yang dihajatkan, salah satu usaha yang boleh dilakukan adalah dengan Hydrographic Water Transfer Printing.

Kaedah itu lebih dikenali sebagai ‘celup karbon’ merupakan satu proses dekorasi tiga dimensi (3D) yang dapat mencetak objek yang rumit seakan airbrush.

BMW e46 dengan bonet karbon yang dicelup.

BMW e46 dengan bonet karbon yang dicelup.

Dengan pendekatan itu, ia secara tidak langsung dapat menyuntik rasa puas apabila kenderaan yang dipandu di atas jalan berupaya mencuri tumpuan ramai.

Kelebihan itu diakui peminat dunia automotif yang juga pemilik bengkel Shark Hydrographic, Mohd Saupe Alawi atau lebih mesra disapa dengan panggilan Saupe.

CECAIR activator yang berfungsi mencairkan dan menstabilkan filem dalam air.

CECAIR activator yang berfungsi mencairkan dan menstabilkan filem dalam air.

Beroperasi di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, kepakaran pemuda berusia 36 tahun itu dalam bidang percetakan Hydrographic Water Transfer Printing memang tidak dinafikan.

Kepada Sinar Turbo, Saupe berkata, beliau melakukan kerja-kerja itu sejak tiga tahun lalu.

“Sebut saja hiasan objek pada semua bahagian dari segala macam model kenderaan yang dimahukan, dengan proses percetakan hidrografik, semuanya mampu dilakukan.

'WAJAH' bonet kereta yang telah dicelup.

‘WAJAH’ bonet kereta yang telah dicelup.

“Itu termasuk pada dashboard kereta dan bahagian-bahagian lain seperti bonet, bampar, fender dan komponen yang terdapat pada enjin,” katanya baru-baru ini.

Potensi pasaran

Bercerita lanjut, Saupe berkata, kemahiran yang dimiliki olehnya dan abangnya, Mohd Sukiman Alawi, 39, yang juga rakan kongsinya dalam perniagaan bukanlah melalui pendidikan secara formal.

Sebaliknya, mereka hanya belajar daripada pengalaman dan laman video Youtube mengenai kaedah memproses percetakan hidrografik.

“Saya dapati tidak ramai yang berminat bidang itu, tetapi ia sebenarnya mempunyai nilai pasaran yang besar. Mungkin ilmu pengendalian Hydrographic Water Transfer Printing itu agak rumit.

“Pada tahun 2016, saya baru belajar teknik ‘mencelup’ dan mengecat secara serius. Abang juga memang mahir, jadi kami bersama-sama bersepakat membuka bengkel sendiri,” cerita anak ketiga daripada lima beradik itu.

Tambah anak muda berbakat itu lagi, beliau juga kini masih tidak berhenti belajar dan mengkaji supaya hasil yang dapat ditawarkan kepada pelanggan berada pada tahap yang sempurna dan memuaskan.

Cabaran

Ditanya cabaran dihadapi, menurut Saupe, sudah tentu dari segi memperkenalkan Shark Hydrographic kepada pelanggan dan apa itu teknologi hidrografik dalam pasaran di Malaysia.

Kata beliau, walaupun Hydrographic Water Transfer Printing telah diperkenalkan dan diusahakan secara industri di Jepun dan Amerika Syarikat lebih dari 20 tahun lalu, namun di Malaysia ia masih dianggap baharu.

Menurutnya, selain itu, permulaan modal pusingan juga dianggap tinggi. Ramai pengusaha hidrografik tidak berjaya bertahan untuk kekal konsisten pada tahun pertama.

Bagaimanapun, Saupe dan abangnya terus berjuang dalam industri itu, malah Shark Hydrographic kini aktif mempromosikan teknik tersebut melalui media sosial Facebook dan Instagram.

“Mungkin suatu hari nanti, kami akan bergabung mewujudkan lagi syarikat keluarga atau membuka cawangan dengan menjadi rakan kongsi sekiranya perniagaan sudah betul-betul stabil.

“Itu perancangan jangka panjang dan saya sendiri masih proses bertatih. Untuk itu kami giat dengan aktiviti autoshow supaya lebih dekat dengan pelanggan,” katanya.

Saupe (duduk, kiri) dan Mohd Sukiman (duduk, kanan) bersama sebahagian kakitangan Shark Hydrographic di Seksyen 7, Shah Alam.

Saupe (duduk, kiri) dan Mohd Sukiman (duduk, kanan) bersama sebahagian kakitangan Shark Hydrographic di Seksyen 7, Shah Alam.

ANEKDOT

Hydrographic Water Transfer Printing

  • Menggunakan film yang dicairkan melalui semburan khas yang dikenali sebagai pengaktif cecair. Ia berfungsi mencairkan dan menstabilkan film dalam air.
  • Sebelum dicelup ke dalam air, objek dicat terlebih dahulu dengan cat dasar. Setelah kering dan halus, warna cat dasar disesuaikan untuk mendapatkan hasil yang sesuai dengan corak film dipilih. Contohnya, jika film bercorak serat kayu akan menggunakan cat dasar berwarna coklat, manakala untuk film karbon kebanyakannya menggunakan cat dasar hitam atau kelabu.
  • Proses pembuatan mengambil masa tiga ke empat hari. Selepas proses mencelup, semburan clear coating akan dilakukan untuk lapisan atas sebagai perlindungan supaya film tidak rosak. Proses terakhir, objek akan digilap untuk mendapatkan kemasan yang berkilat.
  • Sangat rumit. Perlu berhati-hati supaya hasilnya memuaskan atau mengulangi proses yang sama dari awal.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *