Seni Patisserie yakin ganda jualan sempena Aidilfitri

Seni Patisserie yakin ganda jualan sempena Aidilfitri

SENI Patisserie PLT yakin jualan produk kek lapisnya untuk musim perayaan tahun ini meningkat sehingga dua kali ganda, dipacu pembukaan cawangan keempat dan kelimanya yang terletak di Central I-City Mall, Shah Alam dan IOI Putrajaya pada Mei lalu.

Pengasasnya, Dayang Mastura Pengiran Hamid, 46, berkata, pada musim perayaan tahun lalu, jualan kek lapis sebanyak RM80,000 berjaya dicatatkan, dan ia membabitkan pemasaran menerusi atas talian dan juga cawangan.

“Dengan adanya pertambahan cawangan baharu seperti di Central I-City Mall, Shah Alam dan IOI Putrajaya pada Mei lalu, saya yakin ia dapat membantu dari segi peningkatan jualan kek lapis jenama Seni Patisserie pada musim perayaan kali ini,” katanya ketika ditemui di cawangan Seni Patisserie di Ampang Point, baru-baru ini.

Menurutnya, sebanyak 1,000 loyang kek lapis akan disalurkan pada setiap cawangan dengan kepelbagaian perisa.

“Dari segi mentega yang digunakan pula, untuk musim perayaan ini saya telah membuat tempahan sebanyak 650 kilogram (kg) berbanding tempahan pada hari biasa, yang melibatkan 25 buah kotak.

“Ini kerana saya hanya menggunakan bahan-bahan premium selain berkualiti tinggi terutamanya mentega yang diimport dari Perancis.

“Manakala, dari segi penghasilan kek lapis ini pula, saya masih lagi mengekalkan cara pembuatan tradisional dengan menggunakan ketuhar gas.

“Saya mahu menghasilkan kek lapis yang sempurna dan tekstur aslinya masih dapat dirasai sepertimana ia dihasilkannya di kampung,” katanya.

Dayang Mastura berkata, antara perisa yang dihasilkan terdiri Nutella Cheese, Cadbury Chocolate, Neopolitan, Premium Prune, Mandarin Cadbury, Ho Ho Horlicks, Masam Manis, Nyior Pandan, Prune Hawberry, Cherry Rose dan Nutty Fruitcake.

“Untuk satu loyang kek lapis, ia dijual pada harga RM180 manakala untuk buku roti kek lapis, ia dijual pada harga RM47,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *