Seni bina Dubai terselit simbolik, tersendiri

Seni bina Dubai terselit simbolik, tersendiri

(SIRI 2)

SETIAP binaannya tidak akan lari daripada menyelitkan simbolik dan makna tersendiri. Itu keistimewaan hampir kesemua pembinaan struktur bangunan yang terdapat di kota Emiriah Arab Bersatu, Dubai.

Biarpun serba-serbi memanfaatkan teknologi moden, yang pastinya kota wisata kosmopolitan itu tidak pernah melupakan sejarah permulaan kemasyhurannya.

Uniknya, biarpun lebih lebih 70 peratus penghuni di Dubai bukanlah berstatus warga Emirati (penduduk asal), aspek seni dan budaya asalnya tetap dipelihara.

Jika pada Siri 1 terdahulu, Jom Relaks mengetengahkan kunjungan ke Alserkal Avenue, La Mer, Burj Khalifa, Dubai Mall dan Global Village, kali ini ikuti destinasi lebih menarik penjejakan seni dan budaya sebagai tarikan di Dubai.

Dubai Frame

DUBAI Frame

DUBAI Frame

Selain bangunan pencakar langit yang paling tinggi, pusat membeli-belah terbesar dan sistem metro tanpa pemandu yang paling lama di dunia, Dubai menambah satu lagi superlatif melalui binaan bingkai gambar terbesar di planet ini.

Setinggi 93 meter, Dubai Frame adalah struktur ikonik yang menyajikan pemandangan menarik Old Dubai (lokasi lama) dan New Dubai (lokasi baru). Ia berfungsi sebagai jambatan memperlihatkan metafora besar yang menghubungkan masa lampau Emiriah dengan masa kini yang mewah.

Pasti meningkatkan adrenalin ketika berpeluang berjalan di sepanjang laluan lorong lantai berkaca sambil nikmati pemandangan ke bandar lama Deira di utara dan menara-menara Sheikh Zayed di selatan.

Dengan bayaran kira-kira 50 AED, melalui struktur tingkat paling atas bangunan yang telah dibuka sejak dua tahun lalu itu, pengunjung dapat melihat perancangan menakjubkan untuk Dubai 15 tahun akan datang.

Dubai Camel Racing Club

DUBAI Camel

DUBAI Camel

Lazimnya kita hanya menonton sukan berkuda. Namun di Dubai, kecapilah pengalaman menarik terletak di sepanjang jalan Al Ain, di Al Marmoom Dubai untuk menonton perlumbaan unta di Dubai Camel Racing Club.

Menarik perhatian ramai pengunjung dari seluruh dunia, ia salah satu sukan tradisional popular di Dubai yang sangat menonjol kepada dunia sejak tahun 1970-an. Kini ia telah menjadi sebahagian daripada tradisi mereka di situ sejak lama.

Musim perlumbaan unta di situ biasanya bermula pada bulan Oktober sehingga Mac. Jangan tidak percaya, unta robot joki juga telah menjadi trend terkini! Tempat terbaik untuk melihat perlumbaan itu di Dubai adalah di Al Marmoum Camel Racing Track, 45 minit dari bandar.

Gurun padang pasir

GURUN padang pasir.

GURUN padang pasir.

Rizab Konservasi Gurun Dubai (DDCR) Margham adalah kawasan perlindungan yang ditetapkan untuk pemuliharaan ekosistem gurun di pedalaman asli Dubai. Ia merangkumi 4.7 peratus dari keseluruhan kawasan darat Dubai Emirate dan merangkumi 225km ekosistem padang pasir.

DDCR adalah ahli Kesatuan Antarabangsa untuk Konservasi Alam (IUCN) dan mendapat pengiktirafan antarabangsa dari Program Alam Sekitar PBB (UNEP). DDCR adalah rumah kepada 57 spesies tumbuhan, lebih daripada 120 ekor burung dan 43 mamalia dan reptilia termasuk Oryx Arab ikonik. Menarik bukan?

Penulis sendiri berpeluang merasai pengalaman bersafari meredah lautan bukit bukau padang pasir dengan kenderaan pacuan empat roda yang sememangnya mengundang keterujaan.

Apa tidaknya memacu di lereng bukit yang mencabar kadangkala, efek tujahan tayar mengundang simbahan pasir ke cermin tingkap penulis. Tubuh ‘melonjak’ di dalam kenderaan seperti menaiki roller coster meningkatkan adrenalin.

Sememangnya kunjungan ke gurun padang pasir itu akan membawa pengunjung ke alam beberapa abad lalu. Rasailah pengalaman menaiki unta dan menikmati waktu malam di khemah terbuka.

Sambil melihat keindahan bulan dan bintang, pengunjung boleh berhibur dengan tarian raqs sharqi, penari lelaki dengan baju berlampu yang berpusing lebih 10 minit tanpa henti dan tarik gelek penari wanita yang mengasyikkan.

Muzium Dubai

MUZIUM Dubai

MUZIUM Dubai

Terletak di Al Fahidi Fort, Muzium Dubai yang dibina pada tahun 1787 merupakan bangunan tertua. Sesuailah muzium yang dibuka oleh Raja Dubai pada tahun 1971 dijadikan bertujuan menyampaikan cara hidup tradisional di Emirat Dubai.

Tatkala memasukinya, pengunjung dapat melihat benteng kubu di pintu masuk. Terdapat lalu mendorong ke galeri yang memaparkan budaya masyarakat terutama pada tahun 1800-an.

Hayatilah keunikan barangan antik tempatan dan artifak dari negara-negara Afrika dan Asia yang suatu ketika dahulu pernah didagangkan dengan Dubai. Pastinya menerujakan apabila dapat mengimbau kehidupan di emirat sebelum penemuan minyak, sekitar 3000 Sebelum Masihi.

Dikatakan masa Muzium Dubai seluas 4000 meter persegi itu menerima paling banyak kunjungan dari bulan Ogos hingga April.

Sheikh Mohammed Centre for Cultural Understanding

WAKIL SMCCU memberikan penerangan tentang budaya dan tradisi masyarakat Emirati iaitu penduduk tempatan di Dubai.

WAKIL SMCCU memberikan penerangan tentang budaya dan tradisi masyarakat Emirati iaitu penduduk tempatan di Dubai.

Sheikh Mohammed Centre for Cultural Understanding atau SMCCU adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang mempromosikan kesedaran tentang budaya, adat istiadat, tradisi dan agama.

Di SMCCU pengunjung boleh membayangkan suasana sebenar berada di kediaman Emirati. Nikmati hidangan tradisional dan berbual santai dengan wakil yang menyambut kedatangan tetamu.

Selain itu, penulis sendiri berpeluang mencuba jubah wanita tradisional selain menunaikan solat di rumah tradisi terletak di kejiranan Al Fahidi bersejarah Bur Dubai itu.

Jika anda dari Malaysia, jangan terkejut apabila salah seorang penyambut tetamunya yang pernah bekerja di negara ini menyapa anda dengan fasih dalam bahasa Melayu!

Al Fahidi Historical Neighbourhood

AL-FAHIDI

AL-FAHIDI

Mahu merasai gaya hidup tradisional di Dubai dari pertengahan abad ke-19 hingga tahun 1970-an? Cerminan rentetan saat itu ada di Kejiranan Bersejarah Al-Fahidi.

Di sini terdapat banyak bangunan dengan menara udara yang tinggi (barajeel), dibina dengan bahan bangunan tradisional seperti batu, gipsum, jati, kayu cendana, daun palem dan kayu sawit.

Menariknya, bangunan dibina rapat bersebelahan. Hanya dipisahkan dengan lorong, laluan dan dataran awam. Biarpun bangunan batu terlihat sama, kami difahamkan perbezaannya boleh dilihat daripada jenis pintu dan material digunakan. Lebih mahal, menandakan status hidup seseorang pada zaman itu.

Tidak jauh dari SMCCU, berdasarkan lokasi strategiknya di Dubai Creek (Khor Dubai), kawasan itu banyak terdapat aktiviti kebudayaan dan seni yang bervariasi (baik dari segi awam dan swasta) dari pameran seni, muzium khusus, kebudayaan dan kesenian.

Sempat penulis singgah di Muzium Kopi di situ. Malam harinya pula kami melalui lorong-lorong juga terdapat jualan terutama makanan dan cenderahati di sepanjang muara sungai Creek yang bercahaya pada waktu malam. Terdapat juga bot peribadi dan mewah di situ untuk disewa.

Deira

GOLDEN Souk

GOLDEN Souk

SPICE Souk

SPICE Souk

Deira antara kawasan syurga perindustrian wajib dikunjungi. Mengekalkan keajaiban sejarahnya, paling menarik di situ ialah penempatan lokasi membeli-belah dengan harga berpatutan.

Pasti peminat barangan kemas akan terpesona dengan kepelbagaian jenis koleksi di ‘pasar’ emas, Gold Souk di situ. Yang pastinya harga emas 22k dan 34k nya lebih rendah berbanding di sini.

Sementara di Spice Souk, terdapat aneka rempah ratus boleh didapati. Selain rempah masakan, terdapat pelbagai lagi barangan dan pakaian berasaskan timur tengah boleh dibeli atau dibawa pulang sebagai cenderamata.

Dubai Opera

DUBAI Opera

DUBAI Opera

Sama fungsinya seperti Istana Budaya, Kuala Lumpur, Dubai Opera adalah destinasi definitif untuk seni persembahan seni, muzik dan budaya oleh artis dari dalam dalam dan luar negara.

Terletak di lokasi ‘kilometer persegi paling terkenal di dunia di Downtown Dubai, merangkumi peranannya sebagai pusat kreatif pelbagai persembahan dan acara termasuk teater, opera, balet, orkestra, konsert, pameran fesyen, hiburan, persidangan, galeri dan pameran seni.

Tanpa tenaga manusia, kecanggihannya untuk mengalihkan hampir 2,000 tempat duduk untuk menjadi sebuah dewan bagi pelbagai acara seperti majlis perkahwinan, pameran perdagangan, galeri seni dan pameran, majlis dan pesta, menggunakan mod ‘lantai rata’ sememangnya penulis kagumi.

Wajarlah bangunan berkelas dunia berbentuk seperti sebuah kapal laut itu dibuka untuk dilawati.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *