‘Selipar saya hilang lagi?’

‘Selipar saya hilang lagi?’

FENOMENA kehilangan selipar atau kasut ketika bertandang ke rumah Allah adakalanya menyuntik amarah yang tidak berkesudahan. Kita akan berterusan membentak tanpa ambil peduli barangkali mereka yang mengambil atau terambil hak kita berada dalam terdesak.

Pernahkah kita terfikir sepasang selipar itu boleh menyelamatkan sepasang kaki daripada kekotoran dan bahaya? Pun demikian, bukankah mengambil hak orang lain, ia sememangnya dilarang di sisi agama?

Sinar Islam mengemukakan persoalan ini kepada beberapa pakar agama termasuk dua pengurusan masjid terkemuka untuk mengulas tentang isu ini.

Selipar saya hilang lagi? Ini sudah masuk kali kelima dan di masjid yang sama!

Memang benar pada ketika itu kita akan dipengaruhi dengan sifat marah dan sakit hati terutamanya jika kita berada di dalam keadaan yang perlu segera ke tempat lain. Namun, sebagai umat Islam, kita seharusnya cuba menyelesaikannya dengan cara bijaksana. Laporkan kehilangan selipar kepada pihak masjid dan minta bantuan mereka.”

Demikian imbau Zaznizam Abdulllah, 39, kepada Sinar Islam mengenai kejadian kehilangan selipar di masjid yang menimpanya beberapa tahun lalu.

Ujar lelaki itu, selipar yang disarung cuma berharga RM2. Beliau tidak henti-henti merungut. Pekerja swasta itu berkata, sepatutnya semua orang yang ke rumah Allah dengan niat baik. Namun, kejadian kecurian sepatu boleh berlaku. Benaknya tidak boleh menerima perbuatan sedemikian rupa.

Tatkala bersembang isu ini, darjah kemarahan Zaznizam makin membara. Katanya, disebabkan itu dia terpaksa ke parkir kenderaan dengan hanya berkaki ayam.

“Tapak kaki saya cedera terpijak kaca, parutnya masih kelihatan, cuba tengok ini,” ujarnya sambil menunjukkan tapak kaki kanannya yang masih berparut.

Nada Zaznizam yang garang tadi kembali sentimental. Lelaki itu berkata, pada saat menceritakan peristiwa kehilangan kepada rakan serumahnya, beliau bermuhasabah diri.

“Rakan saya berkata, saya kena memaafkan si pengambil selipar itu. Katanya mungkin dia (pengambil) seorang fakir. Sedekahkan sahaja, soal dosa ke pahala ke, biar dia berurusan dengan Tuhan.

“Seperkara, rakan juga nasihat agar peristiwa kehilangan selipar itu mungkin ALLAH sedang menguji sejauh mana ‘rapinya’ penampilan saya untuk menemui-Nya (menunaikan solat di masjid). Benar, ke pejabat mahu pun jumpa teman wanita, saya berpakaian kemas tetapi berjumpa dengan-Nya, saya hanya berselipar Jepun,” ujarnya dengan ungkapan penuh keinsafan.

Penulis percaya, kes Zaznizam dialami oleh ramai orang. Dan isu kehilangan selipar bukanlah satu isu picisan. Ya, setiap kali menunaikan solat Jumaat, mungkin perkara pertama yang kita fikir ialah ‘takut sepatu aku kena kebas’, bukan?

Disebabkan fobia, ada yang sanggup berkaki ayam dan paling tidak, berstoking untuk masuk masjid. Taktik lain, sembunyi selipar sebelah kanan di tempat lain dan sebelah kiri pula di sebalik tembok.

Kisah Masjid Jamek

Bagi mendasari isu ini, penulis baru-baru ini bertandang ke Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur yang dibina pada tahun 1909. Kunjungan itu bagi mencungkil lebih lanjut tentang keseriusan kemelut ini.

Kepada Sinar Islam, Ketua Imam masjid tersebut, Ustaz Yahya Mahyuddin Utoh Said mengakui, fenomena itu memang berlaku di masjid itu.

Malah katanya, pihaknya pernah menerima surat layang daripada jemaah yang kehilangan kasut pada Ogos tahun lalu.

Perkara itu, ujar beliau telah dipanjangkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri! Nampak serius bukan?

“Sekiranya awak tanya saya siapa yang mencuri kasut atau pun selipar, saya tiada perinciannya. Dalam Islam, kita diajar untuk tabayyun iaitu menyiasat sebaiknya. Pun demikian, menurut laporan keselamatan, kerja ini (mencuri) didakwa dilakukan oleh penagih dadah dan orang tempatan.

“Kes-kes ini hanya berlaku pada musim-musim tertentu sahaja dan kebanyakan berlaku selepas solat Zuhur dan Asar,” jelas beliau.

Jangan cepat melatah

Penjelajahan Sinar Islam untuk mengulas tentang isu ini kemudian terarah kepada pakar agama untuk mereka berkongsi perspektif masing-masing.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood memberi definisi mencuri. Ia bermaksud mengambil hak orang lain tanpa keizinan tuannya secara sembunyi.

“Sudah tentu perbuatan itu berdosa. Hukum mencuri juga boleh dipotong tangan jika memenuhi syarat. Antaranya seperti mencapai umur akil baligh, cukup nilai harta yang dicuri, ada saksi, pencuri itu memahami hukum mencuri dan tidak dipaksa atau terpaksa dan barang yang dicuri itu berada padanya setelah diambil daripada jagaan tuannya,” katanya.

Firman ALLAH SWT: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 188).

Dari sudut lain, katanya, seseorang yang kehilangan selipar tidak boleh memaki hamun si pencuri apatah lagi menuduh sesiapa yang mencurinya secara membuta-tuli tanpa usul periksa.

“Memang benar pada ketika itu, kita akan dipengaruhi dengan sifat marah dan sakit hati terutamanya jika kita berada di dalam keadaan yang perlu segera ke tempat lain.

“Namun, sebagai umat Islam, kita seharusnya cuba menyelesaikannya dengan cara bijaksana tanpa mengeruhkan lagi keadaan. Laporkan kehilangan tersebut kepada pihak masjid dan minta bantuan mereka,” sarannya.

Uji kesabaran

Sementara itu, Pencetus Ummah (PU), Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan atau PU Rahmat berkata, insiden selipar hilang menunjukkan indikator iman dan solat seseorang. Selain itu, Allah SWT juga sedang menguji kesabaran dan keyakinan mereka terhadap qada dan qadar, ujar beliau.

Menurutnya lagi, bagi seseorang yang beriman dan solatnya teratur dan baik, maka, mereka akan faham bahawa ALLAH menjanjikan sesuatu yang baik untuknya.

Malah, katanya, insiden hilang ini boleh dianggap sebagai berita gembira kepada mangsa yang kehilangan sesuatu termasuk hanya sepasang selipar.

“Apabila selipar hilang, janganlah bersedih kerana ia sebenarnya khabar gembira kerana ALLAH sedang mengangkat darjat bagi orang yang sabar dan menghapuskan dosa-dosa kita.

“Hikmah terbesar di sebalik musibah adalah dihapuskan dosa dan diberi ganjaran pahala sehingga dia beroleh syurga ALLAH SWT,” katanya.

Bagaimanapun, PU Rahmat menegaskan, pelaku yang mencuri selipar berdepan dengan berita buruk kerana ALLAH SWT dan Rasul sangat membenci golongan ini.

“Azab yang pedih buat orang yang berbuat zalim kepada manusia yang lain. Selipar hilang di masjid bukti solat si pencuri sia-sia kerana gagal membentuk peribadi yang baik,” ujar beliau.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *