Scomi perlu kemuka rayuan, elak nyahsenarai

Scomi perlu kemuka rayuan, elak nyahsenarai

KUALA LUMPUR – Urus niaga dalam sekuriti Scomi Group Bhd akan digantung berkuat kuasa 20 April dan sekuriti Scomi akan dinyahsenarai menjelang 22 April melainkan kumpulan itu mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia.

Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin berkata, rayuan itu perlu dihantar pada atau sebelum 18 April (jangka masa rayuan) dan apa-apa rayuan yang dikemukakan selepas jangka masa tersebut tidak akan dipertimbangkan oleh Bursa Malaysia.

“Bursa Malaysia telah menolak permohonan Scomi untuk melanjutkan masa bagi mengemukakan pelan penstrukturan semula,” katanya.

Menurut Scomi lagi, sekiranya syarikat itu mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia dalam tempoh rayuan, tindakan nyahsenarai sekuriti syarikat itu daripada senarai rasmi Bursa Malaysia pada 22 April akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan mengenai rayuan syarikat.

Bagaimanapun, Bursa Malaysia akan meneruskan penggantungan urus niaga sekuriti Scomi pada 20 April walaupun keputusan mengenai rayuan syarikat masih belum selesai. – Bernama

Sumber