‘Saling memaafkan formula selesai konflik suami, isteri’

‘Saling memaafkan formula selesai konflik suami, isteri’

SHAH ALAM – Suami dan isteri perlu saling bermaafan bagi menyelesaikan konflik yang berlaku dalam rumah tangga.

Pengarah Sebarkan Bahagia Resources, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Nordin berkata, kaedah memukul isteri bukanlah jalan terbaik untuk mendidik sebaliknya tindakan itu perlu diperhalusi oleh suami dengan penuh teliti dan berhemah.

“Surah Al-Nisa ayat ke-34 bukan ayat perintah tetapi realitinya wanita dan lelaki masing-masing ada kelebihan ini kerana jika dalam kehidupan berumah tangga suami dan isteri memerlukan antara satu sama lain,” katanya ketika menjadi panelis Program Celik Al-Quran 4:34 bertajuk Benarkah Islam bolehkan suami memukul isteri? yang dianjurkan oleh Akademi Dr Har dan Wanita Berdaya Selangor Sdn Bhd (WBS) disenergikan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) yang disiarkan secara langsung menerusi platform Sinar Harian pada Ahad.

Program itu turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Ibrah Paradigm Training & Consulting, Ustaz Syaari Ab Rahman sebagai panelis manakala Pengasas Akademi Dr Har, Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj sebagai moderator.

Dari kiri moderator, Dr Harlina Halizah, Fatimah Syarha dan Syaari. - Foto Sinar Harian HALIM WAHID

Dari kiri moderator, Dr Harlina Halizah, Fatimah Syarha dan Syaari. – Foto Sinar Harian HALIM WAHID

Katanya, dalam surah Al-Baqarah, ayat 228 jelas menyatakan hak ke atas wanita adalah kewajipan ke atasnya namun bagi lelaki ke atas wanita itu ada satu tingkat kelebihan.

“Menurut Imam Al-Qurtubi yang membawakan pendapat Ibnu Abbas dianjurkan kepada lelaki untuk bergaul baik, bersikap lapang dada dalam soal harta dan jangan bebankan kepada wanita.

“Kata Syeikh Muhammad Abduh pula, bagi seorang wanita ada kewajipan tetapi untuk lelaki lebih lagi, contoh kewajipan jihad, wanita tak diwajibkan jihad.

“Contoh ekonomi keluarga banyak dibebankan kepada lelaki termasuk cari nafkah, bila kita tengok peribadi Rasulullah dalam Riwayat hadis Bukhari, Nabi sanggup beli kurma dan simpan untuk keluarganya selama setahun,” katanya.

Mengulas lanjut berkenaan dengan taawun iaitu bermaksud tolong menolong, kata beliau, isteri perlu terus menyokong dan membantu suami.

“Islam adalah agama yang rahmah, ALLAH maha adil, ALLAH tidak menzalimi sesiapa.

“Bila diberikan amanah sebagai pelindung dan pembela keluarga kepada lelaki, hendak melaksanakan amanah kepimpinan keluarga itu, ia perlu ada taawun,” jelasnya.

Fatimah berkata, dalam urusan isteri umumnya, mendidik anak lebih kena kepada fitrah isteri, namun Nabi juga bertanggungjawab dalam pendidikan anak.

“Baginda bukan didik anaknya sahaja bahkan anak tiri dan anak jiran,” katanya.

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber