Saham, mata wang Asia merosot

Saham, mata wang Asia merosot

MATA wang dan saham Asia dilapor terjejas pada Khamis apabila saham di Singapura dan India mencatatkan kerugian kira-kira tiga peratus susulan serangan Rusia ke atas Ukarine yang telah menjejaskan minat pelabur untuk mengambil risiko.

Menurut laporan Reuters, Bursa Moscow telah menggantung dagangan di semua pasaran apabila mata wang Rusia (ruble) jatuh ke paras terendah.

“Saham Singapura pula merosot sehingga 2.9 peratus untuk tiga sesi berturut-turut sekaligus mencatatkan kejatuhan paling ketara sejak 14 Mei tahun lalu.

“Manakala prestasi saham India dicatat lemah bagi tujuh sesi berturut-turut apabila jatuh tiga peratus kepada paras terendah dalam tempoh dua bulan,” kata laporan itu.

Tambahnya, saham kewangan Singapura dengan Oversea-Chinese Banking Corp juga dilapor merosot sebanyak tiga peratus, menambahkan kerugian selepas melaporkan penurunan 14 peratus dalam keuntungan suku tahunan.

“Saham Filipina dan Korea Selatan juga masing-masing merosot sebanyak 2.2 peratus dan 2.8 peratus,”katanya.

Ketua Penyelidik Pasaran Baru Muncul (EM), Sid Mathur APAC, BNP Paribas dipetik sebagai berkata; ” Peningkatan itu mungkin akan menyebabkan inflasi yang tinggi untuk pasaran baru muncul dalam beberapa bulan akan datang, dipacu terutamanya dengan menaikkan harga komoditi.

Harga komoditi yang lebih tinggi berkemungkinan memberi kesan kepada negara pengimport bersih terbesar seperti Thailand dan India.

“Bagi mata wang pasaran baru muncul, kami menjangkakan kesan negatif terhadap sentimen risiko mengatasi sebarang kesan positif harga komoditi,” katanya.

Menurut laporan itu juga, konflik di Ukraine dijangka membantu memacu bidaan untuk matawang AS dolar, manakala harga emas meningkat lebih dua peratus.

“Sentimen penghindaran risiko secara keseluruhannya meningkat dan kami menjangkakan ia akan berkembang lebih jauh jika Rusia memasuki lebih jauh ke Ukraine, didorong terutamanya oleh hasil harga tenaga yang lebih tinggi.

Secara keseluruhan, kami menjangkakan pasaran kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat,” kata nota OCBC.

Pada masa sama, Reuters juga melaporkan, kekuatan AS dolar dan harga minyak yang melonjak menjejaskan mata wang pasaran baru muncul, dengan rupee India yang berkaitan komoditi mendahului penurunan, susut 0.8 peratus manakala baht Thai turun 0.5 peratus.

Katanya, Thailand melaporkan sejumlah rekod jangkitan baharu Covid-19 pada Khamis, menyebabkan sahamnya merosot sehingga 1.7 peratus sekaligus menjadikan penurunan peratusan terbesar sejak 20 Disember.

“Won Korea Selatan juga turun 0.8 peratus, penurunan paling ketara sejak 20 Disember, manakala peso Filipina jatuh 0.6 peratus.

“Saham Korea Selatan dibuka lebih rendah pada Khamis, kemudian terus mengalami kejatuhan dalam masa semalaman di pasaran Wall Street, berpunca daripada peningkatan ketegangan di Ukraine, “menurut laporan itu.

Sumber