S P Setia catat jualan RM2.7 bilion suku ketiga 2022

S P Setia catat jualan RM2.7 bilion suku ketiga 2022

S P Setia mencatat jumlah jualan sebanyak RM2.7 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022.

S P Setia mencatat jumlah jualan sebanyak RM2.7 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022.

SHAH ALAM – S P Setia Berhad (S P Setia) mencatat jumlah jualan sebanyak RM2.7 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, sekali gus dilihat berupaya mencapai sasaran jualan RM4 bilion tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Choong Kai Wai memaklumkan, pemaju hartanah terkemuka tempatan itu turut memperoleh keuntungan sebelum cukai berjumlah RM370 juta berbanding hasil pendapatan sebanyak RM2.75 bilion.

Beliau menjelaskan, projek tempatan menyumbang sejumlah RM2.34 bilion atau 87 peratus daripada jualan manakala baki RM359 juta disumbangkan daripada jualan antarabangsa.

“Usaha kami untuk menghabiskan inventori sudah siap membuahkan hasil dengan jualan sebanyak RM478 juta sementara RM592 juta tempahan telah dijamin pada 30 September 2022.

“Kemajuan projek tempatan juga dijangka bertambah baik menjelang suku keempat tahun ini walaupun kekurangan buruh akut yang dihadapi industri hartanah baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu Kai Wai memaklumkan, S P Setia juga telah memulakan bidang baharu iaitu pembinaan taman perindustrian yang semakin mendapat permintaan dalam pasaran.

Katanya, dua bidang tanah di Setia Alaman, Klang dan Taman Industri Jaya, Johor juga telah dikenal pasti bagi membangunkan industri berkenaan.

“Selaras dengan usaha memperkasa Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) berterusan, S P Setia meningkatkan rancangan kemampanan termasuk pemasangan panel solar dan pengecas kenderaan elektrik di projek perumahan baharu terpilih serta di pusat beli-belah Setia City dan pusat konvensyen dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB),” jelasnya.

Sebagai rekod, S P Setia kini sedang membangunkan 47 projek dengan baki 6,687 ekar tanah pembangunan bernilai kasar RM119.47 bilion pada 30 September 2022.

Sumber