Rumah Ngaji tingkat kualiti pembacaan al-Quran penghuni penjara

Rumah Ngaji tingkat kualiti pembacaan al-Quran penghuni penjara

SUNGAI BULOH – Tidak terkesan dengan kisah silam yang gelap, satu persatu ayat al-Quran dibaca dengan lancar penghuni di Penjara Sungai Buloh pada program #QuranHour di penjara itu semalam.

Program #QuranHour itu diadakan secara serentak dengan pelancaran Rumah Ngaji disempurnakan oleh Pengarah Penjara Sungai Buloh, Timbalan Komisioner Penjara, Rosoman Abu Bakar.

Rosoman berkata, suasana seperti itu bukan asing bagi penghuni di penjara dan pendekatan al-Quran ternyata banyak memberi impak positif dalam mengembalikan semula keyakinan diri mereka.

Menurutnya, program-program pemulihan dilaksanakan Jabatan Penjara banyak membantu penghuni penjara dan dengan adanya penyertaan badan bukan kerajaan ia akan menambah kualiti program itu.

“Dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan daripada Kumpulan Media Karangkraf maka hari ini kita dapat melancarkan Rumah Ngaji.

“Rumah Ngaji ini adalah amat penting dan merupakan salah satu program pemulihan ditetapkan oleh Jabatan Penjara. Begitu juga dengan Penjara Sungai Buloh.

“Insan-insan berada di Penjara Sungai Buloh ini dapat mengikuti program terbaik seperti ini dengan dibantu badan bukan kerajaan (NGO) dan NGO ini membawanya dengan kepakaran mereka.

“Jadi program dilaksanakan ini (#QuranHour dan Rumah Ngaji akan dapat menjadikan program pembacaan al Quran di Penjara Sungai Buloh menjadi lebih berkualiti,” katanya di sini.

Rosoman (tengah) bersama pegawai dan penghuni membaca surah Al-Rahman sempena #QuranHour. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Rosoman (tengah) bersama pegawai dan penghuni membaca surah Al-Rahman sempena #QuranHour. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Hadir sama, Timbalan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Penolong Kanan Komisioner Penjara, Nik Robidin Ab Rahman dan Pengurus Latihan dan Pembangunan Akademi Sinergi Ikhlas, Mohd Harfiz Hamzah.

Mengulas lanjut, Rosoman menyifatkan penghayatan terhadap al-Quran menjadi lebih berkesan kerana Rumah Ngaji menyediakan modul lengkap, iaitu bukan sekadar membaca, bahkan sesi tadabbur dan hafalan surah tertentu.

“InsyaALLAH bagi mereka yang berada di Penjara Sungai Buloh ini, mereka akan dapat mempelajari dan membaca al Quran dengan betul sebelum mereka dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Agama Penjara Sungai Buloh, Amir Adili Mohd Nor berkata, program itu perlu diteruskan bagi membudayakan al Quran dalam kehidupan untuk mencapai kejayaan dalam hidup.

Menurutnya, penghuni penjara adalah insan yang diuji oleh ALLAH dalam kehidupan mereka dan sebagai orang awam kita tidak boleh menghukum mereka sama ada mereka bersalah atau sebaliknya.

“Kerana itu apabila kita mendampingi orang orang yang diuji oleh ALLAH ini dan tidak lain tidak bukan kita membawa mereka mendampingi Al Quran agar mereka kembali sedar dengan Al Quran,” katanya.

Kira-kira 150 penghuni Penjara Sungai Buloh menyertai program #QuranHour berlangsung di Penjara Sungai Buloh hari ini. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Kira-kira 150 penghuni Penjara Sungai Buloh menyertai program #QuranHour berlangsung di Penjara Sungai Buloh hari ini. -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Sementara bagi salah seorang penghuni penjara, Mohd Nor Adid Ahmad Anuar berkata, banyak program diaturkan di penjara berkenaan baik dari segi fizikal mahu pun rohani termasuk yang terbaharu #QuranHour.

Menurutnya, program #QuranHour ini sangat membantu dari segi memupuk semangat penghuni tambahan dengan perkongsian dan penjelasan surah Al-Rahman ia sangat membantu mereka menjalani kehidupan di situ.

“Jadi kita diingatkan (dalam surah Al-Fatihah Rahman) bahawa ALLAH banyak memberikan nikmatNya. Jadi kami harap perbanyakkan program seumpama ini bagi generasi kami di dalam ini (penjara),” katanya.

Nor Adid merupakan salah seorang dari kira-kira150 penghuni di Penjara Sungai Buloh yang menyertai program #QuranHour sempena pelancaran Rumah Ngaji Penjara Sungai Buloh di sini, hari ini.

Rosoman (kanan) menerima cenderahati daripada Pengurus Latihan dan Pembangunan Akademi Sinergi Ikhlas, Mohd Harfiz Hamzah (kiri). -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Rosoman (kanan) menerima cenderahati daripada Pengurus Latihan dan Pembangunan Akademi Sinergi Ikhlas, Mohd Harfiz Hamzah (kiri). -Foto Sinar Harian ROSLI TALIB



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *