Rumah Ngaji Perak raikan penggerak al-Quran di hari raya

Rumah Ngaji Perak raikan penggerak al-Quran di hari raya

IPOH – Seramai 300 tetamu daripada ahli Rumah Ngaji, asatizah, dan wakil Quran Corner sertai Majlis Khatam al-Quran dan Sambutan Hari Raya Rumah Ngaji Perak di Hotel Excelsior, di sini, pada 17 Mei lalu.

Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohd Radzi.

Beliau dalam ucapannya berkata program tersebut bukan sekadar meraikan bacaan khatam al-Quran, tetapi mesej penting dan pengertian daripada penghayatan al-Quran sebagai teras ilmu.

“Insan yang berilmu dapat menguruskan dan menjaga kesejahteraan ummah dengan mendekatkan diri dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal. Saya sendiri selalu diingatkan oleh bonda untuk mengaji.

“Untuk menjadi orang baik, kita hendaklah berniat baik, kerja dengan ikhlas dan menjadi anak yang soleh dengan berpandukan kepada al-Quran. Ia mungkin nampak mudah, tetapi sebenarnya sukar untuk dilakukan tanpa penghayatan al-Quran,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datuk Normah Hanum Ibrahim berkata, golongan wanita ini hebat kerana khatam al-Quran bukan hanya di bulan Ramadan, malah hampir setiap bulan. Peranan wanita sebagai ibu, isteri dan anak penting dalam membina keluarga penyayang dan soleh.

“Sebanyak 96 Rumah Ngaji di seluruh negeri Perak bergerak aktif untuk memartabatkan al-Quran untuk dijadikan bacaan harian. Bagi saya, jika sehari tanpa baca al-Quran, rasa tidak lengkap hidup pada hari itu.

“Rumah Ngaji menjadi platform kepada ramai wanita untuk mempelajari dan menguasai bacaan al-Quran, serta mempraktikkan ilmu yang dipelajari. Ia juga sebagai persiapan kita untuk berjumpa dengan ALLAH di hari akhirat.

“Majlis hari ini dapat mengumpulkan dan mengeratkan silaturahim kalangan sahabat Rumah Ngaji selepas dua tahun tidak berjumpa secara fizikal. Diharapkan sesama kita dapat menunjukkan akhlak yang baik, saling membantu dan bersedekah.

“Kita membaca al-Quran siang dan malam, tetapi bagaimana menonjolkan diri sebagai ahli al-Quran di dunia dan akhirat? Oleh itu, kita harap dapat membina Muslim yang dibanggakan. Golongan pemimpin juga diseru mentadbir negara dengan berpaksikan al-Quran.

“Komitmen dan kerjasama ahli dan asatizah Rumah Ngaji Perak dapat memberi panduan belajar al-Quran secara menyeluruh dan membangun masyarakat yang lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.

Pensyarah di Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Azlan Shah, Ustaz Dr Mohd Shafiq Sahimi dalam perkongsian ilmunya di majlis tersebut, berkata menurut Dr Syeikh Yusuf Abdullah al-Qaradawi, terdapat empat kewajipan bagi setiap Muslim terhadap al-Quran.

“Pertama, tilawatul Quran. Kita perlu membaca al-Quran secara setiap hari dan berterusan sehingga nafas terakhir. Ia merupakan makanan rohani sebagai hamba ALLAH. Jika tidak baca sehari, hati jadi lemah.

“Kedua, tadabbur al-Quran. Al-Quran diturunkan bukan sekadar dibaca, tetapi difahami dan diambil manfaat sebagai panduan kehidupan kita di dunia dan akhirat.

“Ketiga, kita perlu menjalankan hak al-Quran dengan mengamalkannya. Mereka yang membaca al-Quran, memahami dan menghayati al-Quran dalam kehidupan akan berasa tenang.

“Keempat, sampaikan ajaran al-Quran kepada orang lain termasuk mereka yang bukan Islam. Ia menjadi misi dan visi besar kita untuk memastikan semua manusia mendapat manfaat al-Quran,” katanya.

Sesi bacaan khatam al-Quran dibimbing oleh Qari Ustaz Radzi Kamarul Hailan yang merupakan Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa Tahun 2000 dan 2004.

Pengerusi Food Bank Perak yang juga isteri Menteri Belia dan Sukan, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohd Radzi menaja 330 kain batik sebagai cenderahati kepada tetamu.

Turut hadir, Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Noor Mazlina Noor Shah, Penggerak Rumah Ngaji Batu Kurau, Datuk Kapten (B) Mohd Najmuddin Elias Al Hafiz, Pengerusi Rumah Ngaji Laman Seri Ridzuan, Sekretariat Wanita & Masyarakat Negeri Perak, Sri Hartini Mohamad Shamsuddin

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber