Robozeta bakal jadi fenomena

Robozeta bakal jadi fenomena

ANIMASI di Malaysia bermula pada 1946 dengan tertubuhnya Unit Filem Malaya, kini dikenali sebagai Filem Negara. Filem animasi pendek pertama ialah Hikayat Sang Kancil (Anandam Xavier, 1978) dan ditayangkan pada 1983.

Filem pendek yang muncul di antara 1985 dan 1987 ialah, Sang Kancil & Monyet; Sang Kancil & Buaya; Gagak Yang Bijak; Arnab Yang Sombong; dan Singa Yang Haloba.

Industri ini kemudiannya semakin berkembang dengan terhasilnya siri televisyen pertama, Usop Sontorian pada 1993, filem cereka pertama, Silat Legenda pada 1998 dan pelbagai lagi syarikat animasi yang menerbitkan siri animasi seperti Keluang Man, Anak-Anak Sidek, Yokies dan lain-lain lagi.

Animasi 3D yang paling popular sudah tentu Upin dan Ipin yang mencipta fenomena sejak 10 tahun lalu dan digemari sehingga kini. Malah, Upin dan Ipin turut menempa nama di negara jiran iaitu Indonesia.

Hadir dengan kualiti lebih baik, Robozeta yang dihasilkan beberapa anak tempatan dilihat mampu menjadi tanda aras baharu dalam bidang animasi tempatan.

Animasi terbitan Red Circle Studio ini yang bakal ditayangkan pada 2020 ini juga bakal mencipta fenomena dalam kalangan kana-kanak yang menggemari animasi menampilkan adiwira.

Robozeta jadi buah tangan

Pengarah Urusannya, Ahmad Firdaus Razif ketika ditemui berkata, Robozeta menjadi buah tangan pertama syarikatnya yang berpengalaman selama 16 tahun dalam bidang multimedia.

Menurutnya, animasi 3D dihasilkan mencapai standard antarabangsa serta menggunakan teknologi perisian terkini yang membolehkan siri animasi 26 episod bagi dua musim tayangan itu dapat disiapkan dalam tempoh masa yang cepat.

“Kebiasaannya satu episod animasi berdurasi 22 minit mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan. Namun, kami hanya ambil masa enam minggu sahaja, ditambah pula dengan kakitangan berkebolehan dan berpengalaman. Jadi Robozeta lebih mudah disiapkan.

“Sistem kerja efisien yang diamalkan di Red Circle Studio juga menjadi faktor utama Robozeta boleh disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Sehingga kini kata Ahmad Firdaus, sebanyak enam episod telah berjaya disiapkan.

Tambahnya, kehadiran Robozeta hanya untuk memberi hiburan kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

“Kami sama sekali tidak berniat untuk memberi saingan kepada animasi adiwira sedia ada sebaliknya memberi lebih pilihan kepada penonton,” katanya.

Jelasnya, standard antarabangsa yang dimaksudkannya perlu mempunyai kriteria ‘motion grafik’, elemen animasi, rupa video dipelbagaikan dan tidak terhad.

Siapa watak Robozeta?

Bercerita mengenai animasi 3D Robozeta, Ahmad Firdaus berkata, ia mengisahkan sekumpulan perwira menyelamatkan Bandar Zetania dari rancangan jahat Geng Kalabera untuk mencuri ‘Zeno Chip’.

“Adiwira ini terdiri daripada lima sahabat berlainan watak yang boleh bergabung menjadi satu robot besar bagi menentang kejahatan.

“Untuk mencipta kelainan, setiap siri animasi Robozeta mengetengahkan nilai moral misalnya mengenai pembaziran elektrik untuk mendidik penonton,” katanya yang yakin kemunculan Robozeta akan mendapat tempat dalam kalangan penonton.

Menurutnya, syarikatnya juga menjalankan kajian dan mendapat pandangan orang ramai terhadap kualiti sebelum animasi ini menemui penonton tahun hadapan.

“Kita tidak berkompromi mengenai kualiti. Memandangkan kami mahu ia menembusi pasaran Asia Tenggara dan antarabangsa, kita telah mengikut standard ditetapkan.

“Daripada kajian itu juga, kanak-kanak sukakan fantasi dan aksi, itu yang kami berikan dalam Robozeta,” katanya.

Mahu tembusi pasaran antarabangsa

Berkebolehan dalam pelbagai cabang multimedia, Ahmad Firdaus mahu Red Circle Studio maju setapak lagi di peringkat global sekiranya Robozeta mendapat tempat.

“Sebelum ini kita telah menjalin kerjasama dengan sebuah studio dari Singapura serta syarikat lain bagi memasarkan buah tangan sulung ini ke pasaran Korea,” katanya.

Dibantu 20 tenaga kerja berkemahiran, beliau berharap impian seterusnya adalah untuk menjadikan animasi 3D Robozeta difilemkan.

“Apabila sesuatu animasi itu semakin dikenali, pastinya ada permintaan untuk berada di layar perak. InsyaALLAH, besar harapan kita untuk difilemkan dan seterusnya barangan cenderamata Robozeta dapat dipasarkan,” katanya.

Bersama dua lagi rakan kongsi, Mohd Hafifi Johari dan Dzhairuddin Ahmad Zabidi, Ahmad Firdaus berkata, peluang dalam bidang animasi ini terbuka luas dan pelaburan berjumlah RM2 juta ini diharap membuahkan hasil.

“Selain mengeluarkan modal sendiri, kami juga mencari pelabur luar yang berminat untuk mengembangkan lagi animasi ini. Jika ada, kami amat mengalu-alukan,” katanya.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *