Robot peneman duka lara

Robot peneman duka lara

JEPUN sebenarnya sebuah negara yang penuh dengan cerita.

Antara kisah paling popular adalah bagaimana negara itu dihuni oleh lebih lebih 28 peratus warga emas.

The Business Insider UK melaporkan, kerajaan negeri Jepun pada tahun lalu mendedahkan, orang tua yang berumur 65 tahun atau ke atas kini mencipta rekod jumlah penduduk sebanyak 35.6 juta atau 28.1 peratus.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kadar itu merupakan yang tertinggi di dunia berbanding Itali sebanyak 23.3 peratus, Portugal (21.9 peratus) dan Jerman (21.7 peratus).

Adakah senario berkenaan merupakan satu perkembangan positif? Jawapannya, mungkin tidak.

Ini kerana warga emas di sana rata-rata telah ditinggalkan oleh anak-anak yang berlumba-lumba berhijrah ke bandar untuk bekerja. Bayangkan di Nagoro yang terletak di pulau Shikoku, suasana kampung di situ terlalu sunyi.

Hanya tinggal 30 penduduk yang kebanyakannya warga emas hingga mereka menjahit anak patung berupa manusia untuk menunjukkan perkampungan mereka masih ada ‘penghuni.’ Itu masih diterima akal.

Gara-gara kesepian, tiada hala tuju dan tempat hendak untuk pergi juga, telah menyebabkan warga emas di negara maju itu sanggup melakukan jenayah kecil dengan harapan mereka dihantar ke penjara supaya ada peneman, menurut satu laporan antarabangsa.

Persoalannya kini, sampai bila hal itu akan berlarutan? Siapa yang akan menjaga golongan terpinggir itu jikalau anak-anak sendiri ‘lari’ meninggalkan orang tua sendiri? Mahu menggunakan pembantu rumah, rasanya pendekatan itu kurang digemari dalam kalangan orang tua di negara Matahari Terbit itu.

Robot Paro

Melihat situasi berkenaan, kerajaan Jepun tidak berdiam diri. Masakan tidak, mereka menggalakkan saintis mencipta robot membantu mengurus dan menjaga orang emas.

Menurut laporan Reuters, di Pusat Jagaan Warga Emas Shin-tomi, sebanyak 20 jenis robot berbeza telah ‘dilantik’ menggalas tanggungjawab berkenaan.

Seperti yang selalu dimomokkan dalam rancangan televisyen, robot berkenaan ‘berpelakuan’ saling tidak tumpah seperti manusia. Ia ternyata benar. Robot yang dicipta itu akan menyahut ketika dipanggil dan memberi respons ketika dibelai.

Ia secara tidak langsung membuatkan kehidupan yang kosong akan terisi. Akhirnya, apa yang berlaku di pusat jagaan itu ialah kebanyakan warga emasnya memilih untuk menumpang kasih dengan si robot versi anak patung yang bersaiz kurang 60 sentimeter.

Salah seorang penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Shin-tomi, Kazuko Yamada berkata, robot yang ditugaskan menjaga mereka sangat hebat dan mesra.

“Semakin ramai orang hidup bersendirian dan robot boleh menjadi rakan bicara dan menjadikan hidup lebih gembira,” katanya kepada Reuters.

Keadaan tersebut turut mendorong syarikat elektronik Jepun, Panasonic Corp menghasilkan teknologi robotik dengan mereka anjing laut yang dinamakan sebagai Paro yang boleh menghiburkan duka lara orang tua.

Sebuah portal verywellhealth.com melaporkan, Paro telah dibangunkan oleh Ketua Saintis Penyelidikan Kanan, Institut Sains dan Teknologi Industri Lanjutan Jepun, Dr Takanori Shibati.

Anjing robot itu dilengkapi dengan pemproses 32-bit, mikrofon, dan beberapa sensor sentuhan. Gajet robotik itu mampu mengenali suara dan bertindak mengikut sentuhan selain mempunyai lima jenis sensor iaitu cahaya, sentuhan, pendengaran, suhu dan postur yang menjadikannya seolah-olah hidup.

Fakta yang menarik perhatian e-Trend ialah perbahasan yang dibangkitkan mengenai nilai terapeutik terhadap penggunaan gajet ‘haiwan peliharaan’ itu kepada warga emas yang menghidap demensia.

Percaya atau tidak, hasil kajian mendapati warga emas lebih menunjukkan respons positif kepada Paro sekali gus menunjukkan keefektifan robot itu menangani masalah terbesar warga emas di Jepun.

Robot beruang, iMairumo Papero i

Selain Paro yang ‘menjiwai watak anjing, satu lagi robot beruang interaktif dihasilkan seorang penyelidik kanan, Fujitsu Laboratories Human Interactions Research Division, Watanabe Ichirō.

Kepada satu laman web terkemuka tempatan, www.nippon.com, Watanabe berharap robot itu akan memainkan peranan dalam mengurangkan pengasingan orang tua yang tinggal sebatang kara dan membantu menceriakan kehidupan seharian.

“Eksperimen yang dijalankan di pusat penjagaan warga tua menunjukkan bahawa penduduk yang menghabiskan masa dengan robot, lebih banyak berbual. Mereka yang murung juga akan tersenyum dengan lebih kerap,” katanya.

Robot inovasi Watanabe itu mempunyai ciri luar biasa. Ia berkeupayaan untuk menghantar video yang diambil melalui kamera yang dipasang pada hidung robot kepada ahli keluarga atau penjaga di lokasi terpencil selain memberitahu keadaan atau khabar mereka.

Kecanggihan teknologi Jepun memang sukar untuk dipertikai termasuk sistem pemantauannya.

Menurut www.web-japan.org, rekaan hebat yang dikenali sebagai iMairumo Papero i atau Robot Pemantauan Sokongan telah dicipta untuk memberi kemudahan kepada golongan warga tua menguruskan urusan seharian.

Perkembangan dunia robotik di negara Jepun lebih ekstravaganza apabila teknologi yang diimplemen itu bukan sahaja bertindak sebagai peneman malah berkeupayaan memantau pergerakan, memiliki kawalan sistem sensor sekali gus bertindak sebagai ‘diari harian’ warga emas.

Dengan adanya revolusi itu, anak-anak di Jepun tidak perlu khuatir meninggalkan ibu atau ayah berseorang di kampung lagi.

Sistem Robot Pemantauan Sokongan yang dibangunkan itu hanya memerlukan pemantauan dari jauh dengan hanya menggunakan telefon pintar atau tablet sahaja.

“Si anak boleh memantau pergerakan atau rutin harian warga emas dalam tempoh 24 jam melalui sensor gerakan, suhu, kelembapan dan tahap cahaya di hujung jari mereka termasuk menerima notifikasi peringatan,” katanya laman web berkenaan.

Pemantauan secara maya yang turut mengaplikasi Internet of Thing (Iot) itu juga terus berkembang apabila peralatan elektrik di rumah seperti cerek dan televisyen boleh menyampaikan mesej.

“Sebuah cerek yang disambung dengan alat komunikasi tanpa wayar berupaya memberitahu sama ada peralatan itu sedang digunakan ibu bapa mereka.

“Ahli keluarga juga boleh mengetahui sama ada orang tua mereka baru keluar rumah daripada membeli-belah atau mana-mana destinasi.



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *