RISDA cadang negara anggota ITRC sepakat tetapkan harga getah

RISDA cadang negara anggota ITRC sepakat tetapkan harga getah

BANGKOK – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mahu negara anggota Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) iaitu Thailand, Indonesia dan Malaysia sepakat dalam isu penetapan harga komiditi.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, pekebun kecil getah mahu melihat harga getah terus meningkat seperti komoditi lain kerana ia membantu meningkatkan pendapatan.

“Adalah menjadi harapan kita pengeluar utama getah dunia duduk semeja mempergiatkan rundingan harga lantai getah sebagai usaha untuk mengawal penawaran sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun kecil,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika pertemuan dengan rakan sejawatnya, Prayuth Chan o-cha di Thailand pada Jumaat lalu telah membangkitkan cadangan untuk mengawal penawaran getah dalam negara masing-masing agar ia dapat memberi manfaat kepada negara anggota dan manfaat yang sama diperoleh pekebun-pekebun kecil getah.

Mohd Salim yang menyambut baik cadangan itu berkata, pertemuan kedua-dua perdana menteri itu membuka lembaran baharu kepada pekebun getah di negara ini untuk mengawal harga dan bekalan getah.

Malaysia menduduki tangga ketujuh dalam kalangan negara-negara pengeluar getah dengan jumlah pengeluaran sebanyak 469,000 tan metrik, menurun sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2021 berbanding 514,702 tan metrik pada tahun 2020.

Sektor pekebun kecil merupakan penyumbang utama pengeluaran getah asli iaitu 90 peratus dengan pendapatan hanya sebanyak RM2.28 bilion bagi getah skrap berbanding pendapatan pekebun kecil yang menghasilkan lateks dianggarkan sebanyak RM3.52 bilion.

Melalui Rancangan Malaysia ke-12, RISDA melaksanakan Program Skim Intensif Lateks (SIL) bagi menggalakkan pekebun kecil menghasilkan lateks sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap import lateks.

Pelaksanaan SIL dijangka dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil sebanyak 30 peratus berbanding getah sekerap. -Bernama

Sumber