Ringgit teruskan aliran rendah berbanding dolar AS

Ringgit teruskan aliran rendah berbanding dolar AS

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, meneruskan aliran menurun memandangkan dolar AS kekal teguh menjelang data inflasi AS dikeluarkan esok, kata penganalisis.

Beliau berkata, data itu mungkin menguatkan keputusan untuk kenaikan kadar Rizab Persekutuan AS (Fed) bagi Mei.

Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.4160/4210 berbanding dolar AS daripada 4.4070/4120 ketika ditutup pada Isnin.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, hasil AS dibuka tinggi pagi ini sebelum susut selepas itu namun, situasi tersebut masih menjejaskan ringgit, walaupun mata wang tempatan berhasil mengurangkan penurunan.

Beliau berkata, data disinflasi Indeks Harga Pengeluar (IHPR) China yang menunjukkan perbelanjaan pengguna masih bergelut untuk meningkat turut mempengaruhi sentimen.

“Walau bagaimanapun, berita baiknya di sini adalah inflasi yang lebih rendah membolehkan People’s Bank of China mengurangkan kadar untuk merangsang ekonomi dengan lebih baik, walaupun perkara itu masih belum diputuskan lagi.

“Saya berpandangan pasaran pertukaran mata wang asing ringgit akan kekal bersifat agak defensif sebelum data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS dikeluarkan esok,” katanya kepada Bernama.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit didagangkan pada RM4.4213 pada satu ketika semasa sesi pagi namun meningkat kepada kira-kira RM4.4167 pada sebelah petang.

“Walau bagaimanapun, kebanyakan peserta pasaran menjangkakan Fed memutuskan untuk menaikkan 25 mata asas lagi semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed AS (FOMC) yang dijadual pada 2 dan 3 Mei ini,” katanya.

Beliau berkata, justeru, data IHP AS akan menjadi penunjuk utama yang perlu diberi perhatian kerana ia boleh mencondongkan keputusan (Fed).

Ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan turun berbanding euro kepada 4.8196/8251 daripada 4.8063/8117 ketika ditutup pada Isnin serta susut berbanding pound British kepada 5.4939/5002 daripada 5.4801/4863.

Walau bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3173/3216 daripada 3.3346/3386 semalam.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.

Ringgit kukuh berbanding peso Filipina kepada 8.04/8.06 daripada 8.10/8.11 semasa penutupan Isnin serta naik berbanding dolar Singapura kepada 3.3156/3196 daripada 3.3158/3200 semalam.

Unit domestik susut berbanding rupiah Indonesia kepada 296.6/297.10 daripada 295.70/296.10 semalam selain turun berbanding baht Thailand kepada 12.8998/9193 daripada 12.8338/8547. – Bernama

Sumber