Ringgit terus susut pada penutup

Ringgit terus susut pada penutup

KUALA LUMPUR – Ringgit terus menyusut berbanding dolar AS pada sesi penutup hari ini seiring dengan mata wang Asia yang lain selepas menerima kesan akibat kejatuhan yuan China dan kekurangan selera risiko, menurut seorang peniaga.

Yuan turun lebih daripada satu peratus berbanding dolar AS hari ini di tengah-tengah kebimbangan wabak koronavirus.

Pada 6 petang, ringgit disebut harga pada 4.1125/1155 berbanding dolar AS daripada 4.0960/1000 yang direkodkan semasa Jumaat sebelum ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia BHD, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan dolar AS kekal mantap dengan dengan pengukuhan data AS manakala mod risiko terus berpanjangan selepas wabak koronavirus masih mencatatkan kematian dan angka kes.

“Kesannya, ringgit berlegar berhampiran tahap rintangan RM4.1192 berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, langkah proaktif oleh Bank Pusat China untuk menurunkan kadar faedah ke atas perjanjian pembelian balik serta suntikan sejumlah 1.2 trilion yuan ke dalam pasaran wang bagi menyediakan kecairan belum mampu mengurangkan ketegangan dalam pasaran.

Indeks ekuiti China menurun dengan ketara pada pembukaan semula selepas ditutup selama lebih daripada seminggu. Bagaimanapun, beliau menambah bahawa langkah itu merupakan satu langkah yang baik dalam meningkatkan keyakinan.

Berbanding dengan mata wang utama lain, ringgit juga didagangkan lebih rendah.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0051/0084 daripada 2.9988/3.0032 dan melemah berbanding yen Jepun kepada 3.7896/7931 daripada 3.7581/7628.

Ringgit juga menurun berbanding euro kepada 4.5529/5579 daripada 4.5167/5227 sebelum ini dan jatuh berbanding pound British kepada 5.3792/3839 daripada 5.3723/3792. – Bernama



Sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *