Ringgit terus mengukuh – Sinar Harian

Ringgit terus mengukuh – Sinar Harian

RINGGIT terus mengukuh berbanding dolar AS untuk ditutup tinggi pada Khamis apabila dolar AS menurun di tengah-tengah kebimbangan kenaikan kadar faedah yang lebih perlahan, kata penganalisis.

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.2450/2465 berbanding dolar AS daripada 4.2575/2625 pada penutup Rabu.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit meneruskan kenaikannya, didorong oleh sentimen yang merosot terhadap dolar AS menjelang keputusan Rizab Persekutuan (Fed) minggu depan.

Beliau berkata, mata wang tempatan juga dirangsang oleh sokongan berterusan daripada pembukaan semula China, yang memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.

“Sama seperti dengan Thailand, mungkin belum pada peringkat yang sama, pelancong China memberikan rangsangan yang ketara kepada ekonomi tempatan; maka permintaan terhadap ringgit daripada perspektif kemasukan pelancong kekal kukuh,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2345/2359 daripada 3.2352/2392 yang dicatatkan pada Rabu, naik berbanding euro kepada 4.6254/6270 daripada 4.6322/6376 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2671/2685 daripada 3.2790/2831.

Bagaimanapun, ia susut berbanding pound Britain kepada 5.2583/2601 daripada 5.2418/2480. – Bernama

Sumber