Ringgit terus ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit terus ditutup tinggi berbanding dolar AS

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Khamis meneruskan aliran meningkatnya bagi empat hari berturut-turut selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) membayangkan pendekatan monetari lebih sederhana pada masa depan. - Gambar hiasan

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Khamis meneruskan aliran meningkatnya bagi empat hari berturut-turut selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) membayangkan pendekatan monetari lebih sederhana pada masa depan. – Gambar hiasan

[DIKEMASKINI] Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Khamis meneruskan aliran meningkatnya bagi hari keempat berturut-turut selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) membayangkan pendekatan monetari lebih longgar pada masa depan.

Pada jam 6 petang, unit tempatan meningkat kepada 4.4160/4200 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4530/4580 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sekiranya dolar AS tidak melepasi paras sokongan RM4.4099 ketika ini, paras ketahanan seterusnya dijangkakan pada RM4.3297.

Fed menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada Rabu tetapi membayangkan dalam satu kenyataan bahawa kenaikan kadarnya telah menghampiri fasa akhir.

Mohd Afzanizam berkata, kenyataan Fed itu ada menyebut akan keadaan mudah tunai terhad yang akan menjejaskan isi rumah dan perniagaan.

“Fed memaklumkan tentang tekanan dalam sistem perbankan Amerika Syarikat dan bagaimana ia boleh memberi impak kepada isi rumah dan perniagaan apabila keadaan mudah tunai menjadi semakin terhad.

“Saya fikir ura-ura kemungkinan Fed akan melonggarkan dasar monetarinya akan memberi rangsangan pada masa depan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, Indeks Dolar AS (DXY) terus jatuh kepada 101.98 mata daripada paras penutup 102.346 mata semalam dan semua mata wang utama mencatatkan aliran yang sama, meningkat berbanding dolar AS.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding euro kepada 4.8055/8098 daripada paras penutup 4.8026/8080 pada Rabu dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.3679/3712 daripada 3.3592/3633. Bagaimanapun ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4379/4428 daripada 5.4696/4758.

Pada masa yang sama, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang Asean.

Unit tempatan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 287.70/288.10 daripada 290.10/290.60, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3278/3313 daripada 3.3363/3406 dan naik berbanding peso Filipina kepada 8.13/8.14 daripada 8.16/8.18 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding baht Thai kepada 12.9562/9741 daripada 12.9297/9506 sebelumnya. – Bernama

Sumber