Ringgit rendah berbanding dolar AS susulan kebimbangan stagflasi

Ringgit rendah berbanding dolar AS susulan kebimbangan stagflasi

RINGGIT ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu apabila pelabur diasak tekanan untuk menjual aset berisiko ketika sentimen pasaran dijejaskan oleh kebimbangan mengenai stagflasi.

Keadaan stagflasi merujuk kepada situasi termasuk pertumbuhan ekonomi perlahan dan kadar inflasi tinggi bagi tempoh yang lama.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.1845/1875 berbanding dolar AS daripada 4.1800/1840 pada akhir urus niaga Selasa.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata situasi semasa jelas memberi tekanan ke atas pergerakan ringgit.

“Stagflasi tersebut didorong oleh kenaikan harga minyak dan perkembangan sedemikian sama sekali tidak membantu prestasi ringgit,” katanya.

Malah, Innes turut menyifatkan pelabur juga sedang bergelut dengan kebanjiran maklumat mengenai perkembangan semasa.

Setakat petang ini, harga minyak mentah Brent diniagakan pada paras US$126.8 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali bagi yen Jepun.

Ringgit mengukuh berbanding yen kepada 3.6126/6155 daripada 3.6159/6197 semalam namun susut berbanding pound Britain kepada 5.5068/5108 daripada 5.4837/4890.

Unit tempatan itu turut rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0739/0766 daripada 3.0656/0688 dan susut berbanding euro kepada 4.5912/5945 daripada 4.5508/5551. – Bernama

Sumber