Ringgit merosot berbanding dolar AS

Ringgit merosot berbanding dolar AS

RINGGIT merosot berbanding dolar AS hari ini, walaupun kebimbangan mengenai varian Omicron berkurangan terhadap pemulihan ekonomi global, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1950/2000 berbanding dolar AS daripada 4.1935/1980 pada Jumaat.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kajian mengenai Omicron, yang menjadi tumpuan pada minggu lepas, akan menyediakan asas kepada pemulihan ekonomi global untuk diteruskan tanpa sebarang halangan.

“Dalam erti kata lain, sentimen mengambil risiko akan diguna pakai, membawa kepada permintaan yang lebih baik untuk mata wang pasaran sedang pesat membangun,” katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, katanya ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.190 dengan RM4.1862 untuk minggu terakhir 2021 sebagai paras sokongan serta-merta.

Menyatakan sentimen yang sama, Kenanga Research juga berkata, ringgit dijangka meneruskan momentum positifnya berbanding dolar AS pada minggu ini apabila sentimen ekonomi global bertambah baik.

“Selain itu, mata wang tempatan dijangka disokong oleh harga minyak mentah yang lebih tinggi, perbezaan hasil bon yang menggalakkan, angka dagangan yang lebih baik daripada jangkaan dan situasi Covid-19 domestik yang bertambah baik,” katanya dalam nota.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ia naik berbanding pound kepada 5.6192/6259 daripada 5.6226/6287 pada Jumaat dan meningkat berbanding euro kepada 4.7479/7536 daripada 4.7567/7618.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding yen Jepun kepada 3.6663/6710 daripada 3.6660/6702 dan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0900/0944 daripada 3.0887/0954 sebelum ini. – Bernama

Sumber