Ringgit mengukuh berbanding dolar AS untuk hari kedua

Ringgit mengukuh berbanding dolar AS untuk hari kedua

KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk hari kedua berturut-turut pada Rabu, didorong oleh minat belian berterusan dan pengumuman kenaikan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang tidak dijangkakan, kata penganalisis.

Kenaikan kadar faedah tersebut juga dikaitkan dengan kemungkinan pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2022 yang lebih positif pada Jumaat.

Pada 6 petang ini, ringgit mengukuh kepada 4.3755/3785 berbanding dolar AS daripada 4.3800/3850 yang dicatatkan semalam.

Menurut penganalisis itu, jangkaan data KDNK suku pertama 2022 lebih baik selain kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas yang biarpun tidak dijangkakan, ternyata membantu peningkatan sentimen pasaran.

“Selain itu, harga minyak mentah yang lebih kukuh dengan harga minyak mentah Brent iaitu penanda aras global terus melepasi paras US$100 setong, juga terbukti memberi sokongan terhadap ringgit,” katanya.

BNM hari ini mengumumkan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus dalam mesyuarat ketiga Jawatankuasa Dasar Monetari bagi tahun ini.

Bank pusat itu menyatakan pembukaan semula ekonomi global yang berterusan serta keadaan pasaran tenaga kerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1583/1607 daripada 3.1499/1540 pada Selasa dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.3723/3748 daripada 3.3643/3684.

Ringgit juga merosot berbanding euro kepada 4.6218/6250 daripada 4.6156/6209 sebelum ini dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4147/4184 daripada 5.3909/3971. – Bernama

Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium

Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Sumber